Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pasukan dikir lelaki dari Masjid Kampung Penapar Tutong 2 dan pasukan dikir perempuan dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong masing-masing muncul juara dalam Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Belia dan Beliawanis Masjid Senegara yang diadakan kelmarin sempena memperingati hari penubuhan Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) ke-20 tahun dan Sambutan Maulidur Rasul.
Sementara itu muncul di tempat kedua dan ketiga bagi kategori lelaki dimenangi oleh belia dari Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar dan Masjid Utama Mohd Salleh Pekan Bangar, Temburong.
Kategori perempuan di tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh beliawanis dari Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Rimba, Gadong dan Masjid Kampung Danau, Tutong.
Hadir pada acara yang berlangsung di Masjid Yayasan, Kampung Bolkiah itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pertandingan dikir anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Yayasan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU itu menyaksikan sebanyak 18 pasukan berentap yang terdiri daripada sembilan pasukan belia masjid dan sembilan pasukan beliawanis masjid.
Antara tujuan pertandingan itu adalah untuk memberi bimbingan dan pendedahan serta peluang kepada para peserta mempelajari teknik berdikir yang betul dalam meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Anam dari segi fashahah, lagu dan suara.
Selain itu, ia juga bagi menggalakkan para peserta setiap hari mengamalkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW supaya beroleh keberkatan daripadaNya sekali gus memeriahkan dan menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul.
