PENGUSAHA ladang getah harus mula berfikir untuk melakukan perubahan terhadap amalan tradisi yang mereka usahakan kepada sistem pertanian secara bersepadu bagi mengimbangi risiko dalam pelaburan yang mereka laksanakan.
Pihak berkuasa di wilayah Songkhla baru-baru ini telah mengadakan sesi permesyuaratan mengenai cara untuk meningkatkan jumlah keuntungan dalam penghasilan getah.
Wakil-wakil dari pelbagai persatuan merangkumi urusan komersial, koperasi, pembangunan tanah, kesihatan, hubungan masyarakat, pendidikan dan sektor swasta turut menghadiri sesi permesyuaratan tersebut.
Di dalam permesyuratan tersebut ramai yang mencadangkan untuk melakukan aktiviti pertanian yang lain selain getah bagi meningkatkan jumlah penghasilan.
Kebanyakan pakar pula menjelaskan bahawa kaedah tanaman secara mono atau persendirian merupakan teknik pertanian terbaik bagi mengurangkan pelbagai risiko seperti kemerosotan tanah dan aliran yang tidak stabil.



Bagaimanapun ternyata teknik tersebut juga tidak sesuai untuk dipraktikkan oleh petani tempatan berikutan kurangnya jumlah penghasilan sekali gus mengurangkan kadar pendapatan mereka.
Sementara pertanian secara bersepadu pula dilihat boleh menangani isu harga yang tidak menentu terhadap hasil pertanian memandangkan hasil tuaian tersebut juga dapat dijual di pasaran bagi mendapatkan sumber pendapatan selain dimasak untuk dijadikan sebagai sumber makanan harian.
Kebanyakan perwakilan yang menghadiri sesi permesyuaratan tersebut juga bersetuju bahawa Universiti Prince of Songkhla cukup sesuai untuk dijadikan sebagai pusat pembelajaran dalam teknik pertanian bersepadu yang merangkumi sudut pemasaran dan peningkatan dalam jumlah penghasilan.
Petani yang mengikuti program tersebut akan menerima bantuan dari pada agensi kerajaan khususnya sebahagian dari kos pembiayaan, mendapatkan maklumat pertanian yang tepat, mewujudkan kesedaran dalam aktiviti pertanian, cara pemasaran sekali gus membantu untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Timbalan Gabenor Songkhla, Kajornsak Jareonsopha menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah menggubal dasar untuk membantu para petani dalam krisis kejatuhan harga getah.
Kementerian Pertanian dan Koperasi juga menyeru kepada petani untuk mengurangkan aktiviti pertanian getah dan cuba mengusahakan aktiviti pertanian secara bersepadu.
Pengusaha aktiviti pertanian getah telah dicadangkan untuk mengusahakan tanaman yang lain bagi menambah sumber pendapatan mereka.
Hakikatnya, konsep pertanian bersepadu telah lama dipraktikkan dan ia secara tidak langsung berupaya dalam membantu para petani untuk menjana pendapatan yang lebih.


Bencana banjir yang berlaku pada tahun 2011 secara tidak langsung telah menjejaskan aktiviti pertanian di sebahagian kawasan sekali gus membuatkan Krajang Chuenrung, yang merupakan seorang petani menjelaskan bahawa ada baiknya untuk menanam pelbagai jenis tanaman bagi mengelakkan kesan risiko yang buruk terutama dari aspek pendapatan.
“Ladang pertanian yang memiliki lebih dari satu jenis tanaman dipercayai dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku sebarang bencana alam seperti banjir,” Krajang yang telah mengusahakan ladang pertanian dengan konsep bersepadu selama tiga tahun dipetik sebagai berkata oleh Bangkok Post.
Pompet Kapueng, 61, petani yang berasal dari Phayao juga menjelaskan bahawa ilmu mengenai pertanian bersepadu di samping penggunaan baja organik juga turut memberikan hasil pendapatan lumayan kepada beliau.
Dari situ, dia telah berjaya mengurangkan penggunaan baja kimia dan racun serangga yang boleh memberikan risiko terhadap kesihatan malah juga turut mengurangkan kos perbelanjaan.
Dekan di Fakulti Sumber Asli di Univeriti Prince Songkhla, Taweesak Niyombandith turut menyuarakan bahawa pertanian bersepadu dengan sokongan pihak kerajaan setentunya akan menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada para petani.
“Petani wajar untuk mendapatkan pengetahuan mengenai kaedah penghasilan, cara jualan dan teknik pemasaran,” jelas Taweesak kepada Bangkok Post.
Petani muda yang berjaya dari Phatthalung, Athikom Kunkaew turut mengongsikan mengenai kisah kejayaannya. Dia telah dipilih sebagai ikon petani muda oleh Pejabat Pertanian Wilayah Phatthalung berikutan usaha dan kebijaksanaannya dalam mengusahakan pertanian dengan konsep bersepadu.


“Para petani yang menghadiri kursus pertanian akan diajarkan mengenai teknik pertanian, penyediaan tanah bersesuaian mengikut jenis tanaman, mengatasi masalah serangga perosak dan meningkatkan hasil tanaman,” jelas Athikom.
“Menariknya pusat pertanian yang dianjurkan tersebut juga adakalanya mengadakan jualan terbuka yang memberikan peluang kepada para petani untuk menjual hasil tanaman mereka seperti buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa perlu untuk membayar sebarang kadar sewa,” jelas Athikom.
Merujuk kepada kos pertanian bersepadu, Athikom menjelaskan kos biji sayuran hanya bernilai sekitar 20 baht dan ia cukup mudah untuk dihasilkan jika kaedah tanaman yang dipraktikkan adalah cara yang betul sekali gus memberikan hasil lumayan.
Athikom yang telah mempraktikkan aktiviti pertanian bersepadu sejak tiga tahun lalu ini juga turut menjelaskan bahawa melalui cara pertanian ini secara tidak langsung turut dapat mengelakkan sebarang risiko yang berlaku disebabkan bencana seperti banjir atau kemarau.
Pengerusi Ladang Getah dan Kelapa Sawit di Thailand, Thodsapol Kwanrod menjelaskan bahawa petani dari lapan wilayah telah mula mengusahakan pertanian dengan konsep bersepadu di mana ia juga bertujuan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara sebagaimana yang dihasratkan oleh mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.
Antara yang telah berjaya mengusahakan pertanian dengan konsep bersepadu ini adalah petani di perkampungan Thammarat di Daerah Bang Saphan.
Thodsapol menjelaskan bahawa petani yang mengusahakan ladang getah di perkampungan Thammarat di Daerah Bang Saphan turut mempraktikkan aktiviti tanaman nanas yang berjaya memberikan kadar pendapatan setinggi setengah juta baht setahun. Manakala hasil tanaman halia pula mampu menjana pendapatan yang mencapai sehingga 300,000-400,000 setahun.
“Daerah Bang Saphan memang telah berjaya mempraktikkan aktiviti pertanian bersepadu memandangkan tanah di kawasan tersebut kaya dengan sumber nutrien,” jelas Thodsapol. – Agensi