Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertarungan kumpulan wira terhebat

    PERNAH mencetuskan fenomena dan berjaya mengumpulkan peminatnya yang tersendiri, Dragon Ball merupakan sebuah siri animasi dari Jepun yang diterbitkan pada tahun 1986 oleh Bird Studio/Shieisha.

    Dari situ, ramai individu yang membesar dengan menonton siri animasi yang memiliki ratusan episod dan tetap ditayangkan sehingga kini.

    Bukan itu sahaja, ada juga yang teruja untuk merasai sendiri kehebatan wira-wira yang bertarung dalam animasi tersebut dengan memilih karakter kegemaran dan menggunakan pelbagai teknik serangan dalam beberapa siri permainan video yang pernah diterbitkan.

    Kini, Bandai Namco Entertainment dan Arc Sytem Works kembali bekerjasama lagi dalam usaha untuk menerbitkan Dragon Ball Fighter Z yang setentunya menyediakan medan pertarungan wira yang cukup hebat di alam siber.

    Kembalikan keamanan

    Dalam permainan video ini mengisahkan mengenai kembara Goku bersama dengan rakan-rakannya yang harus berusaha dalam mengembalikan keamanan setelah Android 16 kembali bangkit sekaligus mencetuskan keadaan huru-hara di muka bumi ini.

    Dragon Ball Fighter Z menampilkan seni grafik pada tahap kualiti 2.5D.

    Bukan itu sahaja, Android 16 ini juga turut bangkit bersama kuasa yang cukup hebat untuk membangkitkan tentera-tentera android lain bagi memperkuatkan persekutuan serangan yang dilancarkannya.

    Hakikatnya kembara dalam permainan video ini akan merentasi tiga bab di mana ia merangkumi Super Warriors Arc, Super Villain Arc dan Android Arc yang menyentuh dari sudut perspektif tiga karakter iaitu Goku, Frieza dan Android 18.

    Lebih dari 20 karakter siri animasi popular itu yang ditampilkan dalam permainan video ini seperti Android 16, Android 18, Beerus, Captain Ginyu, Cell, Frieza, Gothan, Super Saiyan Goku, Black Goku, Gotenks, Hit, Kid Buu, Krillin, Majin Buu, Nappa, Piccolo, Tien, Trunks, Vegeta dan Yamcha.

    Corak pertarungan terhebat

    Seumpama dalam permainan video bercorak aksi pertarungan yang lain, perkara pertama yang akan dilakukan oleh pemain adalah memilih karakter yang bakal di kawal untuk menampilkan kehebatan aksi pertarungan dalam menentang pihak lawan.

    Seni grafik dalam permainan video ini juga tetap kelihatan menarik walaupun ia masih menampilkan teknik grafik 2.5D dan bukannya 3D sebagaimana dalam permainan video lain.

    Menyentuh pula mengenai corak pertarungan yang ditampilkan pula adalah berdasarkan kepada konsep 3 lawan 3 di mana ia merujuk kepada pemain yang berpeluang untuk mengawal tiga karakter pilihan bagi menentang tiga karakter lain yang dikawal oleh pihak lawan.

    Manakala dari sudut kawalan pada tiga karakter pilihan itu, pemain juga berpeluang untuk menukar-nukar di antara satu karakter dengan yang lain ketika sesebuah pertarungan itu sedang berlangsung.

    Naga sakti bernama Shenron juga dapat diseru setelah berjaya mengumpulkan tujuh biji bola naga bagi mengabulkan impian pemain.
    Lancarkan kuasa hebat ketika menentang pihak musuh dalam Dragon Ball Fighter Z.

    Di samping itu, pemain itu juga turut berpeluang untuk menyeru salah satu daripada dua karakter lain bagi memberikan bantuan untuk melancarkan serangan khas kepada pihak lawan. Malah , karakter yang diseru itu juga berpeluang untuk melakukan serangan kombo bersama-sama dengan karakter utama yang dipilih.

    Dari sudut teknik serangan pula, konsep pertarungan dalam permainan video ini menampilkan pelbagai pergerakan asas seperti serangan pantas, serangan hendap, serangan balas dan serangan di udara mengikut kebijaksanaan pemain dalam mengawal pergerakan setiap karakter yang dikawal itu.

    Selain itu, pemain juga berpeluang untuk melancarkan kuasa istimewa dengan memenuhkan meter yang digelar Ki Charge sekali gus melancarkan kuasa istimewa yang dinamakan sebagai Dragon Rush.

    Pengikut setia siri animasi, Dragon Ball setentunya mengetahui bahawa intipati kisah itu adalah untuk mencari tujuh biji bola naga bagi membolehkan seseorang individu itu untuk menyeru seekor naga sakti berwarna hijau bernama Shenron.

    Begitu juga dalam permainan video ini yang turut membolehkan pemain untuk menyeru naga sakti tersebut sekiranya berpeluang untuk mengumpul tujuh biji bola naga di sepanjang pertarungan sekaligus menyeru naga sakti tersebut.

    Shenron yang muncul secara tiba-tiba itu akan mengabulkan salah satu permintaan pemain iaitu sama ada ingin memperkuatkan kuasa karakter pemain, menyembuhkan tahap kesihatan karakter yang tercedera ataupun membangkitkan semula salah satu daripada tiga karakter yang terkorban dalam sesebuah pertarungan itu.

    Lebih menarik lagi permainan video ini juga turut menampilkan konsep Multiplayer yang membolehkan pemain melakukan aksi pertarungan bersama rakan-rakan dan sekiranya anda ingin merasai sendiri aksi kehebatan pertarungan ini jangan terlepas untuk terus mengalaminya dalam Dragon Ball Fighter Z yang dikeluarkan untuk platform PlayStation 4, Xbox One dan Microsoft Windows.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda