PARIS, 3 Feb – Monaco yang diketuai oleh Radamel Falcao, dan Mario Balotelli yang licik menerajui Nice bakal berentap bagi pertembungan dua pasukan teratas Ligue 1 hujung minggu ini.
Nice yang membuat permulaan dengan baik musim ini mula goyah, membolehkan Monaco memintas mereka untuk mengungguli liga menerusi perbezaan gol kerana keduanya mempunyai 49 mata, dengan juara Paris Saint-Germain (PSG) tidak jauh di belakang dengan 46 mata menjelang kunjungan mereka ke Dijon Ahad ini.
Dalam perlawanan sebelum ini pada bulan September, Monaco telah dibelasah 4-0 di Nice dengan Balotelli menemui gawang sebanyak dua kali. Tetapi Monaco telah berubah menjadi mesin gol musim ini dengan menjaringkan 65 gol daripada 22 perlawanan liga, dan ketika mereka meneruskan kemaraan dalam aksi Piala Perancis, jurulatih pasukan Chambly, Bruno Luzi membuat jenaka mengenainya.
“Monaco membolosi gawang kami sebanyak lima kali, seperti yang mereka lakukan kepada pasukan lain,” kata Luzi, selepas pasukannya tewas 5-4 dalam masa tambahan.
Skuad Leonardo Jardim masih bersaing dalam empat kejohanan domestik dan luar, dan akan menerima kembali lapan pemain pilihan utama yang sama ada direhatkan, digantung atau bertugas daripada Piala Negara-Negara Afrika.

“Kami layak berada di tempat kami berada (di puncak liga,” kata Jardim selepas pasukannya seri 1-1 dengan PSG baru-baru ini.
“Dan kami berada dalam 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.”
Selepas empat keputusan seri dalam liga, Nice akhirnya menang 3-1 baru-baru ini dengan penyerang Balotelli dan Alassane Plea keduanya menemui sasaran.
Di bawah Favre, Nice mempunyai rekod pertahanan yang baik dalam Ligue 1 dengan hanya bolos 15 gol dan yakin dengan prestasi penjaga gol mereka yang berusia 22 tahun, Yoan Cardinale.
“Monaco dijangka menjadi satu perlawanan besar dan kami semua perlu memberikan tumpuan. Kami perlu teratur dan menjaringkan gol di saat-saat penting,” kata Favre. – AFP