Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertembungan pertama dua pesaing sejak tragedi rempuhan

    JAKARTA, 12 APRIL – Dua pasukan bola sepak Indonesia yang perlawanan terakhirnya tamat dengan salah satu bencana paling dahsyat dalam sejarah sukan itu bertemu semula di bawah kawalan keselamatan yang ketat dan tanpa penonton.

    Rempuhan di Stadium Kanjuruhan di kota Malang Jawa Timur pada Oktober lalu mengorbankan 135 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak.

    Ia berlaku selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke kawasan yang padat dengan penonton ketika penyokong tuan rumah menceroboh padang pada penghujung perlawanan antara seteru Jawa Timur, Arema FC dan pelawat, Persebaya Surabaya.

    Kedua-dua pihak bertemu semula kelmarin, kali ini di stadium milik pasukan polis negara Indonesia di selatan ibu kota Jakarta.

    Perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Persebaya selepas Arema terlepas sepakan penalti pada saat akhir.

    “Saingan hanya 90 minit. Selepas itu kami bersaudara,” tulis Persebaya di akaun Instagram rasmi mereka.

    Perlawanan itu dikawal oleh ratusan pasukan keselamatan di sekitar stadium dan hanya beberapa pegawai yang berkaitan dengan kelab dibenarkan masuk.

    Tiada laporan mengenai masalah peminat di luar stadium.

    Permainan itu dijadualkan berlangsung pada Mac tetapi ditangguhkan oleh pegawai yang mengesyorkan ia berlangsung di luar kampung halaman Persebaya di Jawa Timur kerana risiko-risiko tertentu. – AFP

    Aksi pemain Arema FC, Muhammad Rafli semasa perlawanan menentang Persebaya Surabaya, baru-baru ini. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda