(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
(Siri 1)
Rasa lapar atau dahaga boleh menyebabkan seseorang merasa tidak tenang dan kurang selesa, apatah lagi pada ketika itu makanan atau minuman sudah tersedia.
Ini menyebabkan sesetengah orang tidak mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa sahaja perkara yang dilakukannya, hatta dalam perkara ibadat sekalipun, kerana teringat akan makanan atau minuman yang sudah tersedia itu.
Sekiranya waktu hidangan itu bertembung pula dengan waktu sembahyang, pastinya dalam keadaan lapar atau dahaga seseorang itu akan menghadapi dilema sama ada untuk mendahulukan tuntutan sembahyang ataupun memenuhi keperluan makan dan minum terlebih dahulu kerana khuatir tidak dapat mengerjakan sembahyang dengan kekhusyukan yang sempurna.
Pertembungan antara waktu hidangan dengan waktu sembahyang ini merupakan satu perkara yang lumrah terjadi. Mungkin ia tidak mendatangkan masalah bagi sebahagian orang.
Akan tetapi, ia boleh mendatangkan beban bagi mereka yang pada ketika itu sedang lapar atau dahaga lalu berhajat terhadap suatu makanan atau minuman yang ketika itu sudah tersedia. Bagi orang yang seperti ini, adakah perlu ia mendahulukan tuntutan mengerjakan sembahyang? Atau adakah perlu dia menjamah makanan atau minuman itu terlebih dahulu?
HUKUM MENGERJAKAN SEMBAHYANG KETIKA HIDANGAN SUDAH TERSEDIA
Islam merupakan ugama yang mengiktiraf keperluan dan naluri manusia. Atas sebab itulah keperluan seseorang untuk memenuhi hajat makan dan minum ketika lapar bukanlah suatu yang dicela.
Dalam waktu yang sama, Islam juga tidak sekali-kali memberi kelonggaran untuk meremehkan tuntutan sembahyang dan menunaikannya sambil lewa sahaja. Kerana itulah menurut ulama, kita dimakruhkan daripada menunaikan sembahyang dalam apa jua keadaan yang boleh menjejaskan kekhusyukan ketika mengerjakannya.
Mengenai persoalan hukum mengerjakan sembahyang ketika makanan atau minuman sudah tersedia ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sudahpun memberikan petunjuk mengenainya dalam beberapa buah hadits. Antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
Apabila makan malam sudah dihidangkan, maka dahulukanlah memakan hidangan itu sebelum kamu mengerjakan sembahyang Maghrib, dan janganlah kamu tergopoh-gapah dari makan malam kamu itu.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibn ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Apabila seseorang daripada kamu sedang menikmati makanan, maka janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai memenuhi hajatnya daripada makanan tersebut, walaupun ketika itu sembahyang jemaah sudahpun didirikan.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam Shahih Muslim pula diceritakan bahawa salah seorang faqih terbesar zaman tabi‘in iaitu al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Shiddiq Rahimahullah telah dihidangkan makanan oleh ibu saudaranya ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha.
Setelah melihat makanan tersebut, al-Qasim Rahimahullah lantas bangun untuk mengerjakan sembahyang, akan tetapi ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menghalangnya. Lalu ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan kepadanya bahawa beliau telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Tidak sempurna sembahyang apabila makanan sudah sedia dihidangkan, dan tidak juga sempurna sembahyang ketika seseorang itu sedang menahan daripada dua benda kotor (air kecil dan air besar).
(Hadits riwayat Muslim)
Hadits-hadits di atas menjadi dasar bahawa makruh hukumnya mengerjakan sembahyang ketika makanan atau minuman sudah tersedia sedangkan orang tersebut cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman tersebut.
Ini adalah pendapat jumhur ulama mazhab asy-Syafi‘i. Ini kerana dalam keadaan sedemikian, fikiran, perasaan dan tumpuannya boleh terganggu dan ini mungkin menyebabkan dia tidak khusyuk mengerjakan sembahyang atau tidak mampu mengerjakannya dalam keadaan khusyuk yang sempurna.
Sekiranya seseorang itu tidak berhajat atau tidak cenderung terhadap makanan atau minuman yang sudah tersedia itu, maka tidak makruh atasnya untuk mengerjakan sembahyang terlebih dahulu.
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, dikecualikan juga dalam perkara ini orang yang mengerjakan puasa. Maka tidak makruh orang yang sedang berpuasa untuk mengerjakan sembahyang tanpa menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia itu. Ini kerana orang yang sedang berpuasa sememangnya ditegah daripada makan dan minum.
Jadi pada kebiasaannya, makanan atau minuman tersebut tidak akan mengganggu fikiran, perasaan dan tumpuannya. Bagaimanapun, sekiranya dia terganggu juga kerana hidangan tersebut, maka sunat dia berpindah daripada tempat makanan atau minuman itu dihidangkan.
Adapun maksud makanan dalam hadits-hadits di atas merangkumi apa sahaja hidangan sama ada makanan atau minuman yang halal.
Begitu juga maksud hidangan dalam hadits-hadits di atas bukanlah khusus untuk makan malam sahaja. Bahkan ia merangkumi semua hidangan yang boleh menjadi gangguan terhadap kekhusyukan seseorang sama ada makan tengahari, makan malam dan lainnya.