BAITULMAQDIS, 2 JUN – Jemaah Palestin bertempur dengan polis Israel di tapak suci Baitulmaqdis hari ini tatkala cuti Israel kebetulan jatuh pada penghujung bulan suci Ramadan.
Jemaah Muslim di perkarangan Masjid Al-Aqsa berasa marah dengan lawatan penduduk Yahudi ke tapak yang dianggap suci oleh kedua-dua agama.
Menurut polis, pembantah mengurung diri mereka dalam masjid, di mana mereka menghumban kerusi dan melontar batu pada pihak yang cuba ‘meleraikan’ mereka.
Pertubuhan Muslim Waqf yang menyelia tapak berkenaan berkata polis menggunakan peluru getah dan semburan lada sulah, menambah kata dua orang telah ditahan.
Selepas pertempuran, jurucakap polis Micky Rosenfeld berkata keadaan kembali tenang dan lawatan diteruskan.

Kejadian itu berlaku ketika rakyat Israel meraikan Hari Baitulmaqdis, yang memperingati penaklukan bandar kawasan timur Palestin dalam Perang Enam Hari 1967.
Cuti pada tahun ini secara kebetulan jatuh pada penghujung bulan Ramadan, bulan puasa Islam.
Perkarangan Al-Aqsa, dikenali sebagai Temple Mount oleh penduduk Yahudi, terletak di timur Baitulmaqdis.
Lawatan pada hari ini adalah kali pertama sejak Selasa di mana penduduk Yahudi dibenarkan memasuki tapak, menurut aktivis.
Penduduk Yahudi dibenarkan melawat tapak pada waktu yang ditetapkan tetapi bukan berdoa di sana untuk mengelak daripada mencetuskan ketegangan. Lawatan penduduk Yahudi ke tapak biasanya meningkat pada Hari Baitulmaqdis. – AFP