Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertempuran kem Palestin: Angka korban meningkat kepada 9

    SIDON, LUBNAN, 31 JULAI — Pertempuran berterusan pada hari ini untuk hari ketiga di kem pelarian Palestin di Lubnan antara anggota kumpulan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan puak-puak Islam. Jumlah kematian akibat pertempuran itu meningkat kepada sembilan orang, kata pegawai.

    Jurucakap tentera Lubnan mengesahkan angka korban terbaharu di kem Ein el-Hilweh. Dua tentera yang ditempatkan di luar kem cedera ringan, kata Kolonel Fadi Abou Eid.

    Walaupun terdapat percubaan oleh pihak-pihak Lubnan dan beberapa puak Palestin untuk menjadi perantara gencatan senjata, ‘tembakan demi tembakan belum berhenti di kem tersebut sehingga saat ini’, kata Adnan Rifai, ahli jawatankuasa popular yang bertindak sebagai badan pentadbir dalam kem berkenaan.

    Tentera Lubnan mengawal pusat pemeriksaan di luar dan biasanya tidak memasuki kem tersebut, yang berada di bawah kawalan puak-puak Palestin.

    Pertempuran tercetus kelmarin selepas mereka saling tembak-menembak dan membunuh seorang jeneral tentera Palestin daripada kumpulan Fatah, Abu Ashraf al Armoushi, dan tiga pengiring ketika melalui tempat letak kereta, menurut seorang lagi warga Palestin.

    Pegawai itu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.

    Pada Sabtu, seorang lelaki bersenjata tidak dikenali telah cuba membunuh Mahmoud Khalil tetapi sebaliknya tertembak rakannya hingga menyebabkan kematian.

    Kemudian pada Ahad, puak-puak Palestin dalam satu kenyataan bersama berkata mereka bersetuju dengan gencatan senjata semasa mesyuarat pengantaraan anjuran gerakan Amal Syiah Lubnan dan kumpulan militan Hizbullah di bandar Sidon. Namun gencatan senjata itu tidak berjaya. – AP

    Anggota kumpulan Fatah berlari mengambil kedudukan semasa pertempuran hari ketiga yang meletus dengan puak-puak Islam di kem pelarian Palestin Ein el-Hilweh berhampiran bandar pelabuhan selatan Sidon, Lubnan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda