YANGON, 17 APRIL – Dua bandar di Myanmar yang terletak di laluan perdagangan penting menuju ke Thailand kini dikepung pertempuran meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan selepas gempa bumi besar bulan lalu, menurut penduduk kepada AFP, hari ini.
Rampasan kuasa pada 2021 mencetuskan perang saudara pelbagai pihak antara tentera Myanmar, gerila pro-demokrasi dan kumpulan pemberontak etnik yang telah lama aktif di kawasan sempadan negara itu.
Empat tahun konflik telah menyebabkan penghijrahan besar-besaran dan kemiskinan, dengan sebahagian besar pertempuran tertumpu di laluan perdagangan di mana pihak-pihak yang bertempur mengendalikan pondok tol bagi mengisi dana peperangan mereka.
Junta dan pelbagai kumpulan pembangkang telah mengisytiharkan gencatan senjata bagi memudahkan usaha bantuan selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda bahagian tengah Myanmar pada 28 Mac, yang mengorbankan lebih 3,700 orang.
Namun begitu, tiga penduduk di timur Myanmar memberitahu AFP bahawa pertempuran telah berlanjutan selama beberapa hari di sekitar bandar Kyondoe dan Kawkareik yang dikuasai junta, kedua-duanya terletak di lebuh raya menuju ke bandar sempadan Mae Sot di barat Thailand.
Seorang penduduk dari kampung berhampiran, yang enggan namanya didedahkan, berkata bandar-bandar itu telah diserang oleh ‘gabungan pasukan’ daripada pelbagai kumpulan pemberontak sejak sebelum Ahad.
“Terdapat serangan udara dan tembakan artileri di sekitar kampung kami sejak dua hari lalu,” katanya. “Kami tiada tempat untuk berlindung.”
Penduduk ketiga dari Kyondoe, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sempadan Thailand, berkata dia melarikan diri dua hari lalu bersama ramai jiran dari kampung-kampung sekitarnya untuk mengelak pertempuran sengit. – AFP
