NEW YORK, 25 JULAI – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat tertutup berhubung pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja hari ini, lapor Xinhua.
Menurut Majlis Keselamatan, mesyuarat yang dijadualkan pada 3 petang tadi dilaporkan telah diminta oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Situasi di sempadan Thailand-Kemboja semakin tegang susulan pertempuran yang tercetus pagi kelmarin, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana melanggar undang-undang antarabangsa.
Menurut timbalan jurucakap Kementerian Kesihatan Awam Thailand, seramai 14 rakyat Thailand terbunuh dan 46 yang lain cedera dalam pertempuran tentera berhampiran sempadan Thailand-Kemboja setakat 9 malam kelmarin.
Timbalan gabenor wilayah Oddar Meanchey Kemboja, Met Meas Pheakdey, memberitahu Xinhua melalui panggilan telefon bahawa seorang penduduk terbunuh dan lima yang lain cedera kelmarin. – Bernama
