Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pertempuran sengit menghampiri hospital

    SEMENANJUNG GAZA, 24 JAN – Pertempuran sengit menghampiri hospital di Khan Yunis di Gaza hari ini selepas Israel berkata ia telah meningkatkan serangannya ke atas bandar yang menjadi tumpuan perangnya dengan Hamas.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menimbulkan kebimbangan mengenai nasib ribuan orang pelarian yang berlindung dan kini terperangkap di kawasan hospital di bandar terbesar Gaza selatan itu.

    Tentera Israel berkata ia telah ‘mengepung’ Khan Yunis, tempat kelahiran ketua Hamas di Gaza, Yahya Sinwar, yang dituduh sebagai dalang serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang.

    “Pertempuran sengit dilaporkan berhampiran hospital di Khan Yunis, termasuk Al-Aqsa, Nasser dan Al-Amal, dengan laporan mengenai rakyat Palestin cuba melarikan diri ke bandar selatan Rafah,” kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA.

    “Tiada sesiapa boleh masuk atau keluar (Hospital Nasser) disebabkan oleh serangan bom yang berterusan,” kata OCHA yang memetik pegawai perubatan yang juga melaporkan bahawa kakitangan sedang menggali kubur di tapak kemudahan itu ‘kerana ramai yang dijangka terkorban’.

    OCHA berkata kira-kira 18,000 orang yang diusir dari rumah mereka dilaporkan berada di Hospital Nasser.

    Seorang wartawan AFP melihat rakyat Palestin yang melarikan diri dari Khan Yunis tiba di Rafah di belakang trak pikap bersama harta benda mereka.

    Hospital Gaza telah menerima mayat sekurang-kurangnya 125 orang yang terbunuh semalam, kata Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas.

    “Berpuluh-puluh kereta kebal Israel mengelilingi Hospital Nasser dari semua arah, kecuali koridor untuk orang yang berpindah,” kata kerajaan Hamas. – AFP

    Penduduk Palestin melarikan diri dari bandar Khan Yunis di jalan pantai menuju ke Rafah, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan Hamas. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...