Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 23 Jan – Daerah Polis Tutong telah mengaktifkan kembali pengawasan kejiranan (PK) dengan membuat perjumpaan bersama penghulu dan ketua-ketua kampung di Mukim Ukong, baru-baru ini.
Rombongan Pasukan Polis Diraja Brunei yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt Suhairi bin Haji Sukri dan Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Insp Muhd Zulfadli bin Haji Yusof dengan disertai lima orang anggota Balai Polis Lamunin itu telah membuat perjumpaan dengan Penghulu Mukim Ukong, Haji Omar bin Abdul Aziz bersama Ketua Kampung Bukit, Haji Muhd Shadiqin bin Abdullah Janjam dan Ketua Kampung Long Mayan, Awang Mohd Addy Sufian bin Abdullah.
Pendekatan ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat perkembangan semasa kawasan kampung serta bertukar-tukar maklumat mengenai jenayah-jenayah yang sudah berlaku di kawasan berkenaan.
Laporan statistik jenayah terkini di bawah tadahan penghulu dan ketua-ketua kampung juga disampaikan. Di samping itu, perbincangan mengenai cadangan aktiviti PK bagi tahun 2018 juga dibuat agar lebih terarah dan teratur.
Jalinan muhibah antara kedua-dua belah pihak akan lebih konstruktif dan positif sebagai usaha berterusan dalam mengukuhkan lagi keberkesanan PK supaya bergerak aktif dalam memantapkan lagi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Perjumpaan itu juga dapat mengeratkan serta mengukuhkan lagi tali silaturahim, ikatan kerjasama dan jalinan persefahaman antara pihak polis dengan penduduk kampung.
