Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Perancangan yang teliti dalam menyusun kepelbagaian kegiatan pengakap yang menarik adalah amat penting dalam strategi menentukan kejayaan bagi sesebuah organisasi.
Oleh itu, bagi merealisasikan perancangan kegiatan tahunan 2020, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas telah mengadakan perjumpaan khas tahunan di antara para pemimpin pengakap dan penolong pemimpin pengakap Pasukan Pengakap Tunas sekolah rendah kerajaan dan sekolah pendidikan swasta dari seluruh negara bersama ketua pesuruhjaya pengakap yang berlangsung di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Jalan Gadong, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, semasa perjumpaan khas berkenaan, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin dan penolong pemimpin Pasukan Pengakap Tunas yang sentiasa komited dengan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh ibu bapa pelajar dalam mendidik anak-anak mereka dalam pendidikan di luar bilik darjah.
Ia juga sebagai satu nilai tambah dalam membangunkan sahsiah keperibadian generasi muda dan mengenali dunia dengan lebih luas melalui kegiatan-kegiatan yang menarik, jelasnya lagi.
Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi dan Pesuruhjaya Program, Awang Junaidi bin Haji Hussin.

Seramai 25 orang terdiri daripada penolong-penolong pesuruhjaya pengakap daerah Bahagian Pengakap Tunas, pemimpin dan penolong pemimpin Pasukan Pengakap Tunas dari 12 buah sekolah rendah kerajaan dan sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Sekolah Rendah Pulaie, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Sungai Tali, Belait, Sekolah Rendah Lumut, Belait, Sekolah Rendah Sultan Hashim, Temburong, Sekolah Sinaran Mas, Sekolah Stella, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak, Sekolah DES, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kuala Belait dan Pasukan Pengakap Terbuka Kuala Belait telah menghadiri perjumpaan tahunan berkenaan.
Dalam perjumpaan itu, Hajah Noraini yang juga pemimpin Pasukan Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Kluster 4 telah memberikan penerangan mengenai kegiatan dan latihan yang bakal diadakan sepanjang tahun 2020 oleh Bahagian Pengakap Tunas kepada semua pemimpin dan penolong pemimpin Pasukan Pengakap Tunas.
Kegiatan terbesar yang akan berlangsung di Negara Brunei Darussalam ialah penganjuran Jambori Pengakap Tunas ASEAN kali pertama yang akan dijalankan pada 1 hingga 6 Disember nanti di mana penyertaan terdiri daripada ahli-ahli Pengakap Tunas dari negara ASEAN. Kegiatan lain yang dijadualkan ialah Kursus ‘Scouts Go Solar’ kepada Pemimpin dan Penolong Pemimpin, latihan kemahiran bersepadu kepada ahli-ahli Pengakap Tunas, Kursus Kepimpinan Ketua-ketua Enam Sekawan, Sukan Ria Pengakap Tunas, Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia serta pelbagai kegiatan Pengakap Tunas yang menarik.
Beliau turut menerangkan bahawa Bahagian Pengakap Tunas yang mencapai usia 104 tahun telah ditubuhkan pada 1916 oleh Leftenan Jeneral Robert Stephenson Smyth Baden-Powell atau Lord Baden Powell of Gilwell atau lebih dikenali dengan nama panggilan BP, pengasas pergerakan Pengakap Sedunia di England selepas sembilan tahun pergerakan pengakap mula ditubuhkan pada 1 Ogos 1907 di Brownsea Island, England.
Pertemuan itu lazimnya dijalankan pada setiap awal tahun di mana ia dihasratkan untuk memberi penerangan tentang perancangan tahunan bagi kegiatan serta latihan bersepadu untuk ahli-ahli Pengakap Tunas sepanjang 2020 serta berkaitan dengan pendaftaran pasukan dan keahlian bagi ahli-ahli Pengakap Tunas yang baharu.