Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Seramai 30 daripada 37 orang bekas penuntut Sekolah Persediaan Inggeris (Brunei Preparatory School-BPS), IH 1969 telah menganjurkan majlis pertemuan semula kali kedua di salah sebuah restoran di Kiulap, hari ini.
Hadir selaku tetamu khas di majlis itu ialah mantan Guru Kelas IH 1969, Haji Suhaili bin Haji Umar.
Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan daripada mantan Ketua Darjah 1H 1969, Pengiran Haji Bakar bin Pengiran Haji Sulaiman yang antara lain mengatakan pertemuan itu diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan sama-sama berkongsi kenangan semasa zaman persekolahan 51 tahun yang lalu.
Katanya lagi, “pertemuan yang pertama diadakan pada tahun 2014 dan majlis pertemuan yang dibuat hari ini, diharap bukan yang terakhir dan akan diteruskan pada masa akan datang lagi”.
Acara kemuncak majlis diserikan dengan upacara memotong kek sebagai menandakan pertemuan kedua pelajar bersama guru kelas selain meraikan bekas-bekas pelajar IH yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka.
