Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertemuan Sasterawan Brunei kali ke-8 dirasmi

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Dalam usianya yang sudah menjangkau ke-62 tahun, ASTERAWANI masih kelihatan bertenaga, malah ianya boleh dikatakan semampu dan sedaya upaya dapat mempertahan dan meneruskan legasi sebuah kumpulan sasterawan tanah air.

    Manakala dari segi pensejarahan kebahasaan dan kesusasteraan pula, usianya 62 tahun itu hampir sebaya dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1965.

    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa merasmikan Pertemuan Sasterawan Brunei kali ke-8 (PSB8) 2024 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, PSB8 itu adalah suatu dukungan terhadap misi dan visi gerakan memajukan bahasa dan sastera.

    Menurut beliau, tema Falsafah Negara Melayu, Islam, Beraja (MIB) Dalam Sastera: Sumbangan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 menyeru dan mendorong penghasilan karya sastera yang berintipatikan falsafah kemelayuan, keislaman dan keberajaan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir pada majlis perasmian itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Ianya dihasrat menjadikan Brunei dikenali di seluruh dunia dengan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat berkualiti tinggi dan juga ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan,” jelasnya.

    PSB8 membentangkan 16 buah kertas kerja termasuk sebuah kertas kerja ucaptama yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang dikenali dalam kalangan khalayak sastera sebagai Adi Rumi.

    Sementara itu, PSB8 turut menampilkan pembentang kertas-kertas gabungan antara pembentang yang lama dan yang baharu.

    Dengan menampilkan pembentang baharu dalam PSB8 itu, ianya diharap menjadi pelapis kepada penulis-penulis veteran, selain dapat meneruskan kegiatan-kegiatan dalam bidang kesusasteraan pada masa akan datang.

    Di samping itu, sesi forum yang menampilkan tiga ahli panel terdiri daripada seorang pembentang kertas kerja dan dua penulis berbakat yang juga muka baharu dalam kegiatan PSB turut membahaskan yang berkaitan dengan tema pertemuan berkenaan.

    PSB turut diserikan dengan penglibatan pembentang kertas kerja daripada Persatuan Penulis Sabah dan Sarawak yang menjadi rakan strategik ASTERAWANI, di mana mereka juga sering mengundang ahli-ahli ASTERAWANI untuk turut serta dalam kegiatan-kegiatan yang mereka anjurkan.

    Pada PSB akan datang, ASTERAWANI akan mengundang beberapa penulis luar negara bagi menyemarakkan lagi ilmu, berkongsi pengalaman dan pemikiran khususnya dalam bidang penulisan.

    PSB adalah pertemuan penulis yang diadakan setiap dua tahun, yang mana pertemuan tersebut merupakan kegiatan yang ditunggu-tunggu oleh para penulis dalam rangka mempertemukan, mendengar pembentangan kertas keraja, bertukar-tukar pemikiran, pandangan dan cita-cita.

    Selain itu, ia juga diharapkan supaya pada masa akan datang dapat mengangkat mutu karya sastera mereka dan seterusnya memberikan sumbangan yang maksimal kepada masyarakat, bangsa dan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda