Oleh Hamdanajib Domeng
BANDAR SERI BEGAWAN, 3I DIS – Seramai 30 orang mantan ahli dan pemimpin Pengakap Veteran telah mengadakan Majlis Pertemuan Semula yang berlangsung di sebuah restoran di Jerudong, kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu ialah mantan Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas; mantan Naib Yang Dipertua PPNBD, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Matnoor dan mantan Setiausaha Agung PPNBD, Haji Duming bin Haji Abdul Wahab.
Majlis telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan tahlil buat ahli-ahli
dan pemimpin pengakap yang telah kembali ke rahmatullah.
Pada majlis itu, beberapa mantan pemimpin Pengakap Veteran antaranya, Dato Paduka Ar Haji Idris, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad dan beberapa orang bekas ahli pengakap veteran yang lain turut menceritakan pengalaman sepanjang bergiat dalam pergerakan pengakap yang mana menurut mereka, banyak membantu untuk berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.
Dengan mengadakan majlis pertemuan semula itu juga dapat mengeratkan lagi ikatan dan keakraban persahabatan mereka.
