Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Acara pertemuan semula bagi peserta yang pernah menyertai program Sukarelawan Belia Kebangsaan (SBK) telah menggamit kenangan lebih tiga dekad yang lalu.
Acara yang diadakan di kediaman mantan pegawai Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Awang Mohd Nasir bin Pungut di Kampung Kiarong hari ini, telah berjaya mengumpulkan lebih 30 orang yang pernah mengikuti program tersebut.
Acara tersebut diselajurkan dengan majlis tahlil yang dikhususkan untuk mantan para pegawai JBS dan peserta program SBK yang telah kembali ke rahmatullah.
Turut hadir semasa acara tersebut ialah mantan para pegawai JBS yang terlibat secara langsung dalam penubuhan program SBK.
Penubuhan program SBK merupakan inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui JBS dengan tujuan untuk meningkatkan serta menguji ketahanan fizikal serta mental golongan belia.
Pengisian program berkenaan merangkumi perkhemahan termasuk penyertaan daripada belia-belia negara jiran, selain itu beberapa kursus serta latihan kemahiran.


