Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Setelah 41 tahun 9 bulan sejak pertama kali melaporkan diri di Bolkiah Kem, kini lebih 100 bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pengambilan ke-41 bersua kembali pada Majlis Pertemuan Semula yang telah diadakan di sebuah restoran di Kampung Mulaut.
Majlis telah dimulakan dengan majlis bertahlil dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan daripada salah seorang bekas anggota ABDB pengambilan ke-41, Kolonel (B) Haji Hamid bin Haji Nayan.
Dalam ucapannya antara lain menjelaskan rasa syukur kerana Anggota ABDB Pengambilan ke-41 dapat berhimpun buat pertama kali.

Selepas menamatkan latihan (rekrut), mereka jarang bertemu dan telah menjalani tugas masing-masing mengikut penempatan yang telah ditetapkan dan sejak itu juga mereka hanya dapat bertemu di tempat awam secara kebetulan.
Kolonel (B) Haji Hamid juga dalam ucapannya berharap agar pertemuan semula tersebut akan dapat mengeratkan lagi persahabatan dan persaudaraan dalam kalangan mereka.