Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Bagi mengeratkan lagi hubungan antara sesama sahabat handai setelah sekian lama tidak bersua muka, majlis pertemuan semula antara bekas pelajar yang menuntut di Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) sekitar tahun 1983 hingga 1989 telah diadakan baru-baru ini.
Majlis yang menggumpulkan seramai lebih 40 orang bekas pelajar Maktab SOAS berkenaan merupakan perjumpaan pertama mereka sejak lebih 30 tahun yang lalu, semasa mereka masih lagi menuntut di maktab berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat, di majlis yang berlangsung di Rimba Garden Central, ialah Pengiran Anak Sufian bin Pengiran Anak Haji Hashim.
Pengerusi majlis, Awang Barin bin Haji Kamis dan Awang Salam bin Rejab berharap agar pertemuan semula itu dapat mengimbas kembali kenangan semasa mereka masih menuntut di maktab tersebut, sekali gus memperkukuhkan lagi ikatan persahabatan antara mereka setelah sekian lama tidak berpeluang berjumpa disebabkan kesibukan masing-masing.
