Sunday, November 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertemuan seram di musim durian

    Oleh Durian Kunyit –

    Boleh dikatakan hampir setiap hari aku singgah di pasar raya yang terkenal di negara ini.

    Disebabkan oleh beberapa perkara, ‘perlintasan’ dan barang-barang yang lengkap dan setiap kali aku masuk, ada saja kan disimbat, padahal barang yang dibeli itu tidak berapa diperlukan. Tapi pada hari itu, aku terpaku bila ‘barang’ itu dijual. Aku keluar dari kedai itu dengan muka pucat mencuka. Durian. Aku fobia melihatnya. Dulu, memangnya aku amat gemar akan durian. Tak payah dipelawa, aku akan menjamahnya dan melahapnya. Tapi sejak peristiwa itu, tak ku berselera.

    Nak tahu sebabnya, peristiwa itu berlaku pada musim durian dua tahun yang lepas. Seperti biasa, tiba saja musim durian, kerja sambilanku menunggu durian gugur. Pulau buah milik nini biniku (nenek), situlah aku bekerja. Nenek akan memberikan aku sebiji durian dari 10 biji durian yang ku kutip. Dan nenek memiliki lima pohon durian. Cuba bayangkan jika tiba musim durian, sehari 10 biji durian gugur bagi setiap pohon. Maknanya lima biji durian aku dapat setiap hari. Cucu nenek yang lain inda turut-turutan menunggu macam aku kerana ‘takut’.

    MALAM SERAM DI LADANG DURIAN

    Jadi aku seorang saja menunggu dari petang hampir lewat malam. Dan kadang-kala menunggu sampai ke pagi, jika aku ditemani oleh ayah atau nini laki. Tapi aku lebih suka berseorangan kerana pendapatan tidak usah dibagi dua. Tiba petang Khamis, aku dan ayah akan menunggu pohon durian nenek sampai ke subuh. Aku rasa yakin bila bersama ayah lebih-lebih lagi malam Jumaat. Tapi ayahku akan ke mari (pondok durian) bila lepas Isyak, itu janjinya. Aku akan duduk di pondok kecil berdinding buluh dan beratap zink yang didirikan beberapa tahun lalu.

    Di pondok itulah aku menunggu siang dan malam. Kalau ada bunyi durian gugur aku akan mencarinya dan dikumpulkan di dalam pondok. Bila sudah banyak baru dijual di tambing atau ada juga orang perseorangan yang datang membeli. Dalam kawasan dusun di kampung kami, durian neneklah yang paling famous. Sukang lah katakan. Isinya tebal, bijinya kecil, warnanya kuning bagai emas.Dan nombor satu istimewa ialah rasanya yang tak ada tolok banding. Ada orang mengagak kelazatan durian nenek ini ialah kerana kedudukan dusun ini bersebelahan dengan tanah perkuburan Islam.

    Gambar Freepik

    ‘Pokok durian dapat zat dari air mayat, sebab itu sedap,” kata mereka. Tetapi aku tidak pernah percaya itu. Walaupun ramai yang beranggapan begitu, aku menganggapnya hanya sebagai gurauan pembeli untuk mendapat harga murah. Malam itu entah mengapa, ayah belum muncul dan aku tiba-tiba teringat kubur di sebelah dusun nenek. Selama ini sedikit pun aku tidak peduli akan kubur tersebut.

    Malah waktu siang, aku selalu bermain di atas kubur yang banyak itu. Malam ini, memandang sahaja pada tanah perkuburan yang berbalam-balam itu, aku ditimpa rasa seram. Seolah-olah ada yang luar biasa pada kubur-kubur tersebut. Mungkin juga ketidakmunculan ayah pada malam itu sedikit sebanyak mengundang kegundahan di jiwa.

    Kalau ikut jam di tanganku ini, Isyak sudah berlalu setengah jam tapi batang hidung ayah belum muncul lagi. Sudah dua tiga kali aku mendengar bunyi durian jatuh.

    Maklum malam berangin begini memang durian banyak jatuh. Tetapi aku tidak berani turun dari pondok. Entahlah, takut kini bermaharajalela dalam diriku. Selalunya dengar bunyi durian gugur, aku pasti turun, walaupun sudah larut malam, walaupun dalam hujan. Aku menjenguk-jenguk menghala ke pondok si Amat (Lamat) yang terletak di hujung dusun nenek, tapi gelap saja. Mungkin si Amat tidak dapat bertunggu malam ini kerana membaca Yasin di surau.

    Maklum sajalah malam Jumaat. Malam Jumaat? Ayah? Takut? Lari? Empat persoalan yang berlegar di fikiranku.Aku mendengar sebiji durian jatuh. Bunyinya dekat sahaja dan terdengar macam durian besar. Tergerak juga hati untuk turun, tetapi kerana aku pernah membaca ruangan Misteri Media Permata mengenai seorang pengutip durian besar tetapi apa yang dikutipnya sebiji kepala manusia. Aku masih ingat itu, kepala hantu disangka sebij durian besar.

    KETAKUTAN SEMALAM

    Perutku yang sepatutnya lapar mula mengecut ketakutan. Kesamsenganku di sekolah sudah tidak ada lagi malah aku hampir saja hendak menangis. Aku benar-benar takut malam itu. Jikalau ada jin yang memberikan aku tiga permintaan seperti dalam cerita Aladin alangkah baiknya. Semestinya permintaanku hanyalah hendak balik ke rumah, balik rumah dan permintaan ketiga balik ke rumah juga.

    Tapi perkara tersebut boleh dikatakan syirik, aku lupakan tentang Aladin. Sekarang aku terpaksa membaca apa-apa surah yang kuhafali. Mulutku kumat kamit berzikir. Tetapi sedikitpun tidak boleh menghilangkan rasa seram makin ku baca, makin seram jadinya.

    Tiba-tiba dari arah kubur aku terdengar suara kanak-kanak menangis.

    Siapakah yang menangis itu? Setahu aku tidak ada rumah orang berhampiran dengan kubur. Makin lama makin kuat suara kanak-kanak menangis itu dibawa angin. Kemudian berhenti.Kemudian terdengar pula wanita ketawa. Juga dari arah kubur. Aku sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Tetapi aku sedar, dalam kedinginan malam, bulu romaku makin tegang.

    Kemudian aku mengambil parang panjang yang terselit di dinding. Kalau ada yang datang mengganggu aku nanti, parang inilah yang akan kuhayun. Bunyi perempuan ketawa semakin jelas. Aku tidak berani memandang arah ke kubur lagi. Tingkap kecil yang menghala ke kubur ku tutup. Tetapi daun tingkap tetap sekejap terbuka sekejap tertutup kerana tiupan angin.

    Ayah…di mana kamu. Aku mula naik geram mengenai ayah yang memungkiri janjinya.

    Bunyi ketawa itu pun berhenti. Aku harap tidak ada lagi bunyi yang bukan-bukan. Kalau boleh aku tidur, alangkah baiknya. Tetapi makin aku cuba memejamkan mata, makin seram jadinya. Dua tiga biji durian jatuh, tetapi sedikit pun tidak berniat untuk mengutipnya. Aku berdoa pada Tuhan, janganlah didatangi apa-apa yang menakutkan pada malam itu. Aku rela durian nenek dicuri orang, tetapi janganlah didatangi yang bukan-bukan.

    Angin yang kencang tadi mula reda, kini bau harum pula menusuk hidungku. Aku pasti ini bukan harum durian, juga bukan haruman minyak-minyak wangi. Harumnya luar biasa, menusuk hingga ke hidung. Aku teringat kata orang tua-tua kalau tengah malam tercium bau harum semerbak, itu ertinya ada hantu. Selama ini aku tidak pernah percaya kata-kata itu. Tetapi sekarang aku percaya makin menusuk keharuman, makin tegang bulu romaku.

    Aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran buat kali kedua, tetapi ketakutan lebih menguasai fikiran, ayat itu menjadi tidak bererti. Dalam ketakutan yang memuncak itu,aku membuat keputusan untuk terjun dari pondok dan berlari ke dusun si Amat sambil menjerit minta tolong. Tentu ada orang kampung yang dengar nanti. Aku memegang erat lampu picit dan parang panjang, bersedia untuk menerajang pintu dan cabut.

    Malam itu entah mengapa, ayah belum muncul dan aku tiba-tiba teringat kubur di sebelah dusun nenek. Selama ini sedikit pun aku tidak peduli akan kubur tersebut. Malah waktu siang, aku selalu bermain di atas kubur yang banyak itu. Malam ini, memandang sahaja pada tanah perkuburan yang berbalam-balam itu, aku ditimpa rasa seram memegang erat lampu picit dan parang panjang, bersedia untuk menerajang pintu dan cabut. Pondok itu terlalu menyeramkan buatku. Aku tidak mahu lagi menunggu durian nenek, tekadku.

    Tetapi niatku untuk lari, tidak menjadi. Aku terdengar suara orang memberi salam. Aku mendiamkan diri untuk mengecam suara itu yang kedengaran makin dekat. Terdengar juga bunyi orang berjalan menuju pondok.

    PERTEMUAN MISTERI

    “Assalamualaikum!” Aku tidak pernah mendengar suara itu. Sebab itu aku hanya mendiamkan diri, walaupun salam itu kujawab dalam hati. Aku memegang parang lebih erat. Aku memejamkan mata.

    “Assalamualaikum!” kata suara itu lagi. Dan belum sempat aku berbuat apa-apa, pintu telah ditolak dari luar. Seorang wanita terjonggol di pintu. Di tangannya ada pelita yang apinya meliuk-liuk. Dia meletakkan pelita di tengah pintu.

    “Nenekmu menyuruh menunggui (durian),” katanya sambil memandang wajahku yang terpinga-pinga. Aku tidak kenal perempuan ini, tetapi nampaknya bukan perempuan jahat.

    “Banyak durian di luar atu. Mengapa inda diputik? Karang kena curi.”

    “Sajuk di luar ah,” jawabku selamba. Perempuan itu ketawa halus dan duduk di benduk pintu. Tangannya menyapu-nyapu muka dengan selendang.

    “Kita ani siapa?” aku bertanya. “Bu Ajah Sinah,”katanya sambil matanya keliar-keliar, mungkin menyambangi pencuri. “Ninimu atu, biasaku tuu.”

    “Kenapa malam-malam kita datang ke mari?”

    “Babukan membali durian,” katanya perlahan dan sebelum sempat aku bertanya dia telah menyambung cakapnya.

    “Pagi-pagi subuh esok kan balik, atu tah kan durian ani kan disimbat (buah tangan).”

    “Sebenarnya babu ani sudah memungut empat biji durian.” Lalu durian yang dipungutnya dinaikkan dianjuran pondok.

    “Berapakah harganya ni?”

    “Pasal babu sudah susah payah memungut sendiri, cincai $10 saja,” kataku sambil membuang tanah yang melekat di celah duri durian. Aku sedikit terkejut apabila Bu Ajah Sinah mengeluarkan bungkusan hitam bersimpul rapi dan dibukanya simpulan itu di depanku.

    “Kunyit saja yang ku ada lai.” Ia memberikan kunyit sebesar ibu jari dengan berlapikkan kain hitam tadi. Aku sesungguhnya marah dengan perbuatannya. Seperti mencaci aku. Aku minta $10, tapi kunyit pula diunjuknya. Marah ku tahan dan berusaha mengukir senyuman kepadanya. Aku turun ke tangga cuba membantu bu Ajah Sinah membawa durian. Tetapi Bu Ajah Sinah tidak mahu dihantar hingga ke jalan. Katanya, anaknya ada menunggu di sempadan dusun si Amat. “Kirim salam arah ninimu. Jangan lupa tuu!” katanya. Aku memasukkan gumpulan kunyit ke dalam poket seluar jeans ku. Nampak menonjol.

    Kemudian aku naik semula ke pondok dan mataku mula menarikku untuk lena. Perasaan takut ku mula reda.

    Tiba-tiba aku tersentak bila seorang perempuan tua berdiri di depanku sambil menggamit-gamit bahuku sehinggalahku terjaga.

    “Banguntah. akhir sudah. Balik!” Nenek bingkas tergesa-gesa memimpin kubalik. Mataku masih kelat walaupun matahari mula naik. Nenek menarik bajuku kerana aku masih terhoyong-hayang. 

    “Ada orang meninggal di kampung!” bisik nenek kepadaku. Aku menyegerakan langkah bila mendengar ada kematian. Aku boleh nampak beberapa penggali kubur menggali dekat pohon (kebun) nenek. Kesemuanya aku kenal. Termasuk bapa. “Nenek. mengapa bapa inda datang ke pondok semalam?” tanyaku.

    “Sudah jua dicarinya kau di pondok semalam. Tapi kau mana ada. Ke mana kau semalam?”

    Aku mula bingung. Padahal sepanjang malam hinggalah ke subuh dan hinggalah ke pagi aku terperap di sini. “Tapi nini…” Percakapanku terputus apabila nenek mengajukan pertanyaan. “Inda kau takut seorang semalam. Masa atu lagi ada orang meninggal.”

    “Inda,” sahutku dengan penuh keegoan. “Ada lagi customer datang.” Nini tersenyum kambing. Macam inda percaya. “Banar ni.ia kirim salam lagi arah kita,” sambungku. Nenek mula rasa sedikit percaya dan bertanyakan nama perempuan itu.

    “Kalau kuinda silap. Bu Ajah Sinah.”

    “Hajah Sinah?” Nini terkejut. “Banar ia datang ke mari?”

    Aku hanya mengangguk, tetap kemudian terkejut bila nenek berkata, “Hajah Sinah atu lama sudah…”

    “Apa?!! Mulah sudah.” Nenek menerangkan kematiannya disebabkan kemalangan dengan kereta. Sewaktu arwah Hajah Sinah hendak menunggui durian (waktu itu musim durian) ketika menyeberangi jalan, Hajah Sinah kena langgar dan meninggal di tempat kejadian.

    Lebih teruk lagi bila waktu itu ia sarat mengandung tujuh bulan.

    Aku menyeluk saku untuk memberikan kunyit yang diberikannya. Tapi yang berada di poketku hanyalah gumpalan tanah kuning yang keras dan berbakal-bakal.

    Nenek kemudian mengajakku ke kubur Hajah Sinah. Bila tiba di sana alangkah terkejutnya aku dan nenek kerana di tengah-tengah antara kubur Hajah Sinah dan anak damitnya terletak empat biji durian yang dibelinya semalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda