Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Bagi meningkatkan lagi kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Iran, satu majlis pertemuan antara ketua-ketua dewan perniagaan Iran dan Brunei telah diadakan baru-baru ini.
Pertemuan itu telah dihadiri oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negara Brunei Darussalam, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad dan Presiden Iran Chamber of Commerce, Industries, Mines and Agriculture (ICCIMA), Samad Hassanzadeh.
Antara tujuan pertemuan itu ialah sebagai keperluan untuk menubuhkan dewan bersama khususnya antara kedua-dua buah negara yang menekankan aspek pelancongan kesihatan dan teknologi maklumat telah diketengahkan sebagai bidang utama untuk kerjasama.
Dalam pada itu, Samad Hassanzadeh, antaranya berkata Iran mempunyai keupayaan yang kukuh dalam memenuhi pelbagai keperluan dalam pasaran Brunei, yang boleh menyediakan asas kukuh untuk kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara.
“Iran mempunyai potensi yang besar dalam industri makanan dan pertanian, pengeluaran jentera perindustrian, petrokimia, minyak dan gas, bahan binaan, dan perkhidmatan kejuruteraan terutamanya dalam pembinaan, pembangunan bandar, pembinaan jalan dan jambatan, pembangunan kereta api, penubuhan industri loji dan penjanaan kuasa.
“Pelancongan, pelancongan kesihatan dan penyediaan perkhidmatan perubatan juga merupakan bidang yang menjanjikan untuk kerjasama,” tambahnya.
Samad Hassanzadeh turut menegaskan penubuhan dewan bersama boleh membawa kepada hubungan perdagangan yang lebih tersusun dan teguh. Beliau menekankan kepentingan menghantar dan menerima delegasi perdagangan untuk memupuk hubungan yang lebih erat antara komuniti perniagaan dan menjemput presiden dewan Brunei melawat Iran sebagai ketua delegasi perdagangan.
Sementara itu, Haji Abdul Saman turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan perdagangan melalui kerjasama yang lebih erat yang mana kedua-dua negara memiliki sumber asli yang besar dan warisan budaya yang kaya, yang harus dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.
“Iran kukuh dalam industri dan pertanian. Walaupun Brunei adalah sebuah negara kecil, ia mempunyai banyak kelebihan terutama dalam tenaga dan minyak. Kita boleh meningkatkan kerjasama dalam aspek teknikal dan teknologi sektor tenaga. Brunei juga mempunyai kapasiti yang menjanjikan dalam industri makanan dan kosmetik,” ujarnya.
Beliau juga menyebut bahawa pertukaran budaya dan pendidikan merupakan satu lagi bidang kerjasama yang berpotensi.
Dalam pada itu, di luar acara Ekspo Iran 2025, dewan perdagangan Iran dan Brunei menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan dan memperdalam kerjasama perdagangan dan ekonomi.
MoU yang berkuat kuasa selama lima tahun itu telah ditandatangani oleh Samad Hassanzadeh dan Haji Abdul Saman yang menggariskan bidang utama kerjasama meliputi pertukaran dan penyebaran maklumat, promosi perdagangan dan pelaburan, sokongan untuk delegasi perdagangan dan pelaburan serta acara kerjasama.