LOS ANGELES, 29 Nov – Deontay Wilder dan Tyson Fury terpaksa dipisahkan semalam ketika berlaku kekecohan pada sidang media terakhir sebelum pertarungan heavyweight mereka.
Juara heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC), Wilder dan Fury akan bertarung di Staples Center pada pagi Ahad ini yang menyaksikan pemenang tersebut akan mara ke pertarungan yang lebih menguntungkan.
Selepas berbalas-balas bidasan di depan wartawan semalam, kedua-dua petinju heavyweight yang belum pernah kalah itu terlibat dalam perbalahan yang mengancam berlakunya pergaduhan.
Pencabar dari British, Fury menamatkan sidang media tersebut dengan menanggalkan baju dan mencabar Wilder ketika kedua-dua petinju heavyweight itu berbalas ejekan.
Fury ‘Gypsy King’ yang bermulut pedas, dilihat dengan jelas mengusarkan Wilder, yang kelihatan lebih merasa marah di antara kedua petinju itu.
Fury, 30, yang kembali bertarung setelah mengalami tekanan dan kesalahan penyalahgunaan dadah telah melepaskan tumbukan menentang Wilder, dengan berkata dia menjangkakan akan membuat pukulan knock-out dan menewaskan juara Amerika Syarikat itu (40-0, 39 knock-out).
“Saya memberitahu anda sekarang, saya akan mengalahkan Wilder pada malam Sabtu ini,” kata Fury. “Pada malam Sabtu ini, seluruh dunia akan mengetahui bahawa dia (Wilder) adalah seorang lelaki yang dikalahkan oleh Fury.
“Orang yang sombong ini tidak asli, ia palsu, dicemuh dan berdusta. Saya melihatnya dan tidak melihat seorang lelaki yang jahat, saya melihat seorang lelaki yang berpura-pura.”
Wilder bagaimanapun berdepan dengan Fury ketika kedua peninju itu bersemuka, membandingkan warisan masing-masing dalam pertarungan itu.
“Anda menyatakan orang anda bertarung selama 200 tahun? Orang saya bertarung selama 400 tahun,” jelas Wilder mengenai Fury, yang juga keturunan Ireland.
Fury, yang ketawa dan bergurau sepanjang sidang itu, kemudian berkata dia percaya dia telah menggusarkan Wilder. – AFP