Tuesday, October 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertengkaran sabung ayam punca tembakan maut

    HONOLULU, 21 APRIL – Satu tembakan yang membunuh dua orang dan mencederakan tiga yang lain di Hawaii hujung minggu lalu bermula dengan pertengkaran di arena sabung ayam yang dihadiri 100 hingga 200 orang, menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan kelmarin.

    Kertas kemungkinan sebab yang membutirkan salah satu tembakan paling serius dalam sejarah negeri itu telah didedahkan kepada umum selepas kehadiran salah seorang suspek, Jacob Borge di mahkamah.

    Borge, 23, dan seorang budak lelaki berusia 16 tahun menyerah diri kepada polis. Borge didakwa dengan pembunuhan tahap pertama dan kedua, tiga pertuduhan cubaan membunuh dan tuduhan senjata api. Ikat jamin ditetapkan pada AS$2 juta. Petisyen telah difailkan terhadap juvana itu untuk pertuduhan yang sama, kata polis.

    Pembela Awam Negeri, James Tabe, yang pejabatnya mewakili Borge pada perbicaraan awal, berkata masih terlalu awal untuk mengulas mengenai kes itu.

    Polis Honolulu telah dihantar ke kawasan kejiranan luar bandar di Waianae berikutan laporan tembakan dilepaskan sejurus selepas tengah malam Sabtu semasa sabung ayam.

    Apabila polis tiba, para hadirin bergegas meninggalkan tempat kejadian, kata dokumen mahkamah.

    Salah seorang lelaki yang ditembak memberitahu polis bahawa ketika sabung ayam berakhir, tiga lelaki muda terlibat dalam pertengkaran yang bertukar fizikal bersama enam orang lelaki yang dikaitkan dengan ‘penganjur sabung ayam yang terkenal di kawasan Waianae,’ menurut kertas mahkamah.

    Lazimnya dikenali sebagai laga ayam, sabung ayam popular di Hawaii walaupun haram.

    Seorang lagi lelaki yang ditembak memberitahu polis bahawa dia “melihat seseorang memegang pistol dan mula menembak orang ramai,” kata dokumen.

    Seorang mangsa tembakan memberitahu polis terdapat 100 orang di acara sabung ayam, manakala seorang lagi memberitahu polis terdapat 200 orang. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda