Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertimbang hotel tempat pengasingan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Beberapa pengurus dan pemilik hotel di negara ini bersedia memberi kerjasama untuk menempatkan penuntut Brunei di United Kingdom dan juga Malaysia yang akan balik ke negara ini, sebagai tempat pengasingan selama 14 hari.

    Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong berkata, cadangan berkenaan dibuat setelah melihat pengasingan di rumah mungkin kurang berkesan dengan keadaan situasi masa ini.

    Pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan, kementeriannya telah meninjau tempat-tempat lain yang sesuai untuk menjalani tempoh pengasingan tersebut.

    “Salah satu cadangan melihat bilik-bilik hotel yang ketika ini banyak kosong untuk menempatkan penuntut-penuntut dan penumpang lain yang mengikuti penerbangan dari London.”

    Ke arah ini, ujarnya, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengadakan perbincangan dengan pengurus hotel dan pemilik hotel, yang mana pada umumnya mereka bersedia memberi kerjasama untuk menyediakan atau menjadikan hotel-hotel yang kosong untuk digunakan oleh Kementerian Kesihatan bagi menempatkan penuntut dan orang tertentu sebagai tempat pengasingan.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa sidang media mengenai COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    “KSSUP akan terus mendapatkan maklumat daripada hotel berkenaan untuk memastikan berapa buah bilik kosong yang ada pada masa ini dan yang dikehendaki. Penuntut dan orang tertentu akan dihantar terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ke hotel berkenaan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa KSSUP akan terus mengemas kini perkara berkenaan dari semasa ke semasa bersama Kementerian Kesihatan supaya tiada kekeluhan masalah orang menunggu atau masalah ketiadaan bilik bila diperlukan.

    Sementara itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar menjelaskan, setiap negara mempunyai prosedur tertentu dalam menangani pesakit positif COVID-19 tanpa gejala.

    Menurutnya, ada juga yang mempunyai prosedur kuarantin yang ketat dan menempatkan mereka di hotel, rumah atau apartmen sebagai tempat pengasingan.

    Bagi Brunei, Yang Berhormat Dato berkata, pelan berkenaan masih dibincangkan dengan KSSUP mengenai ketersediaan bilik dan pangsapuri hotel di bawah Darussalam Asset.

    “Sesiapa yang melakukan perjalanan di luar negara menggunakan penerbangan, mereka akan diminta untuk mengasingkan diri sendiri, tapi prosedurnya akan sama dengan kuarantin dalam bilik tanpa bercampur dengan orang lain untuk memastikan mereka bukan pembawa atau tidak dijangkiti,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menegaskan, ini adalah untuk memastikan mereka bukan pembawa atau tidak dijangkiti dan mereka juga akan dipantau selama 24 jam.

    “Kami menggalakkan pelajar untuk kembali ke Brunei, dan kemungkinan besar ada komuniti yang tersebar di negara-negara tersebut dan ini adalah persediaan awal kami untuk memben-dung penyebaran pandemik ini secepat mungkin”.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda