KOTA KINABALU, 11 OGOS – Inisiatif Dana Iklan Digital (OHSEM) sangat membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun kadar diskaun sesuai wajar diberi pertimbangan untuk mereka di Sabah dan Sarawak.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy berkata pertimbangan kadar diskaun 85 peratus yang ditawarkan perlu agar lebih sinonim dengan keadaan usahawan PKS di negeri itu yang masih ketinggalan dari segi pendapatan.
“Sejumlah besar dalam kalangan usahawan PKS di Sabah masih belum mampu untuk menggunakan iklan berbayar dan sebagai alternatif, mereka lebih banyak menggunakan media sosial yang percuma untuk mempromosikan produk masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk melihat inisiatif itu berdasarkan kemampuan usahawan PKS di Sabah supaya OHSEM mampu dinikmati oleh semua usahawan di seluruh negara dan tiada yang ketinggalan.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melancarkan OHSEM yang bernilai RM21 juta sebagai antara inisiatif menggalakkan usahawan PKS membuat pengiklanan menerusi platform kandungan tempatan.
Menerusi OHSEM, usahawan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja iaitu diskaun sehingga lebih 85 peratus berbanding RM8,000 untuk capai 100,000 audiens dan ia terhad kepada 1,000 usahawan pertama yang membuat permohonan.
Bagi Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Sabah, Prof Datuk Foo Ngee Kee berkata bayaran diskaun lebih sesuai untuk usahawan mempunyai modal besar seperti usahawan PKS di Semenanjung.
“Pasca-COVID-19 menyaksikan banyak usahawan PKS di Sabah masih bergelut untuk meningkatkan hasil pendapatan, dan mereka lebih memilih media sosial seperti Facebook sebagai medium pengiklanan untuk usahawan menjual produk secara percuma,” katanya. – Bernama


