Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan ini, Persatuan PERTIWI tidak ketinggalan mengadakan majlis khatam Al-Quran secara maya yang dihadiri oleh lebih 40 orang ahlinya di keempat-empat daerah dan jemputan khas, kelmarin.
Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Persatuan PERTIWI, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof dan naib yang di-pertua persatuan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Saiyyidul Istighfar beramai-ramai yang diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan khatam Al-Quran dari Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Masad secara bergilir-gilir oleh ahli-ahli persatuan.
Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan Takhtim, Doa khatam dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis tersebut diharap dapat mendekatkan diri dengan Al-Quran dan sama-sama meraih pahala dengan membaca dan mendengarkan bacaan Al-Quran.
