Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Sepanjang bulan Ramadan ini, masjid-masjid dan balai-balai ibadat menjadi tumpuan pelbagai persatuan dan orang ramai untuk mengadakan pelbagai majlis keagamaan dan tadarus bagi merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Sehubungan itu, Persatuan PERTIWI juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Pembukaan Tadarus di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Madang, hari ini.
Sebelum majlis tadarus bermula, Naib Yang Di-Pertua Persatuan PERTIWI, Datin Hajah Fatimah binti Dato Seri Setia Abang Haji Razali telah menyampaikan derma kepada mangsa rumah roboh di Kampung Sungai Matan, Haji Asbi bin Mohd Yassin.
Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan itu ialah Penasihat Persatuan PERTIWI, Datin Paduka Hajah Zahrah binti Haji Idris dan Pengerusi Persatuan PERTIWI Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawie.



Tadarus Al-Quran antara kegiatan tahunan persatuan berkenaan yang bertujuan bukan saja untuk meraih pahala di bulan Ramadan namun menggalakkan ahlinya untuk sentiasa mengamalkan membaca Al-Quran seterusnya menjalin dan merapatkan silaturahim.
Pada tahun ini, majlis tadarus diadakan sebanyak lapan kali yang diadakan secara berasingan di mana pembukaan tadarus diadakan hari ini dan Majlis Penutup Tadarus Persatuan PERTIWI dijangka diadakan di Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop pada 18 Jun ini.