Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Konsep Ilal Hijrah mengajak umat manusia untuk berhijrah meninggalkan maksiat dan menuju reda Allah SWT dalam semua peringkat kehidupan.
Perkara ini antara yang digariskan oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Sekolah Persediaan Arab, Dayang Noorizah binti Haji Abidin semasa menyampaikan ceramah khas Sambutan Ilal Hijrah 1445 anjuran Persatuan Pertiwi yang berlangsung di Dewan Telanai, Rasa Ceria Cafe, hari ini.
Dalam ceramah khas beliau seterusnya mengongsikan, Ilal Hijrah untuk wanita Muslimah merangkumi apa yang terdapat dalam hadis Baginda Rasulullah SAW, yang bermaksud,
“Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.”
Beliau seterusnya berkata, “Semoga tahun baharu 1445 Hijrah ini akan meningkatkan lagi keazaman serta semangat perpaduan untuk terus bergiat cergas membawa Pertiwi maju ke hadapan dengan pelbagai kegiatan amal kebajikan kerana Allah.”
Terdahulu, Yang Di-Pertua Persatuan Pertiwi, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof dalam ucapannya menyeru untuk sama-sama berhijrah meningkatkan semangat perpaduan yang sedia ada.
“Dengan kedatangan tahun baharu Hijrah ini, ia akan membawa penuh kerahmatan dan keberkatan kepada semua ahli pertiwi, ahli keluarga serta sahabat handai,” tambahnya.
Majlis tersebut turut diteruskan dengan meraikan enam orang ahli Pertiwi yang selamat kembali dari menunaikan ibadah haji tahun ini.
Turut hadir ialah Penasihat Pertiwi, Datin Paduka Hajah Zahrah binti Haji Idris dan ahli-ahli Pertiwi dari empat daerah.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P7-3A_12082023.jpg)