Oleh Daniel Lim
Gambar oleh Pejabat Daerah Belait
KUALA BELAIT, 1 Mei – Persatuan PERTIWI telah menyerahkan sumbangan berjumlah $3,591.25 untuk Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait pada majlis yang diadakan di Pejabat Daerah Belait, kelmarin.
Sumbangan yang dikumpulkan menerusi Jualan Amal Raya anjuran persatuan berkenaan tahun lalu telah disampaikan oleh Pengerusinya, Dayang Fatimah binti Tanji kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad.
Sumbangan berkenaan diharap akan mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim di daerah ini dalam persiapan bagi bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dengan ini, Jawatankuasa Tabung Amal Daerah Belait serta Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait menyatakan penghargaan atas sumbangan daripada persatuan berkenaan dan berharap sumbangan seumpamanya akan menggalakkan yang lain untuk melakukan yang sama.
Mereka yang ingin menyumbang ke tabung berkenaan boleh mengunjungi pejabat mereka semasa waktu bekerja.
Selain itu, sumbangan juga boleh dihulurkan menerusi akaun Bank Islam Brunei Darussalam, 00-008-01-0005723 (Tabung Amal Daerah Belait) dan 00-008-010007570 (Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait).
Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunannya, Persatuan PERTIWI juga akan mengadakan jualan amal bermula minggu ketiga bulan ini hingga malam Hari Raya Aidilfitri.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk mengunjungi jualan itu nanti yang bukan sahaja bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi sumbangan masa depan malah menyokong persatuan dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan.
