Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertolongan cemas penting

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Kemalangan dan kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa serta di mana-mana tempat, justeru tindakan yang betul dan cepat boleh meningkatkan prospek pemulihan mangsa apabila berlakunya kecemasan.

    Sehubungan dengan itu, seramai 43 orang penuntut dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengambil bahagian dalam Kursus Kilat Basic Life Support yang dianjurkan oleh Unit Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Majlis Perwakilan Pelajar 19/20 di UNISSA baru-baru ini.

    Disampaikan oleh ActFast, Kursus Kilat BLS dimulakan dengan taklimat mengenai kepentingan dan faedah mempelajari pertolongan cemas. Maklumat yang disampaikan termasuk kepentingan pentadbiran CPR kepada mangsa yang tidak bernafas di mana sel-sel otak mangsa boleh mati dan tidak berfungsi lebih kurang lima minit selepas pernafasan berhenti.

    CPR boleh membantu jantung mangsa menyalurkan darah dan oksigen ke otak sementara menunggu pakar perubatan sampai ke tempat kejadian.

    Sesi diteruskan dengan aktiviti-aktiviti praktikal di mana para peserta dididik dalam tatacara pengendalian dan membantu mangsa yang memerlukan CPR, cara membantu mangsa yang tercekik, dan cara membantu mangsa yang tidak sedar.

    Projek ActFast adalah satu inisiatif bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan keselamatan dan mendidik orang awam dalam rawatan pertolongan cemas yang betul dalam pelbagai senario kecemasan.

    Selain itu, ia juga bertujuan memupuk keyakinan diri dan masyarakat mengenai cara bertindak pada waktu kecemasan.

    Sejak penubuhannya, ActFast telahpun menyampaikan kursus first aid dan bantuan asas hayat atau BLS kepada lebih 250 orang dari pelbagai latar belakang, termasuk penuntut sekolah, orang awam, warga perkhidmatan awam dan juga sektor swasta.

    Para peserta yang menyertai Kursus Kilat BLS yang diadakan baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda