Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Negara Brunei Darussalam dan Kanada mencapai satu lagi mercu tanda signifikan dalam memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang perniagaan dan perdagangan menerusi penubuhan Persatuan Dewan Perdagangan dan Jaringan Kanada-Brunei (CBNA).
Sehubungan itu, majlis perasmian penubuhan CBNA diadakan di Pusat Latihan Serbaguna CAE Brunei baru-baru ini.
Hadir untuk sama-sama menyempurnakan perasmian berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pembangunan Ekonomi, Perdagangan Antarabangsa dan Promosi Eksport Kanada, Yang Berhormat Mary Ng.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanda ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie; Pengerusi dewan, Hafimi Abdul Haadii serta para jemputan khas dari Kanada dan Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Mary Ng menyatakan penubuhan dewan perdagangan baharu berkenaan merupakan kolaborasi di antara kedua-dua buah negara yang dihasratkan untuk menjana peluang untuk kerjasama, perdagangan serta membina masa depan mampan bersama.

Beliau menyatakan usaha kedua-dua buah negara berkenaan menunjukkan bahawa kerjasama antarabangsa dan perdagangan terbuka dapat menjana kemakmuran bersama.
Mengulas mengenai perdagangan dua hala di antara Brunei dan Kanada, Yang Berhormat Mary Ng berkata perdagangan dua hala telah mencapai $12.6 juta pada 2023 yang disokong oleh perjanjian seperti CPTPP.

Memandang ke hadapan, tambahnya, mereka menjangka peluang yang lebih besar menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada akan datang pada masa terdekat.
Beliau yakin CBNA akan memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan peluang dan memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara komuniti perniagaan kedua-dua buah negara.
Majlis seterusnya menyaksikan perasmian penubuhan CBNA yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Mary Ng.

CBNA dihasratkan untuk menjadi sebuah platform yang menggariskan kerjasama yang terjalin sekian lama di antara Brunei dan Kanada dengan mengetengahkan nilai-nilai dikongsi bersama iaitu inovasi, warisan kebudayaan dan kolaborasi strategik.
Inisiatif itu bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan di antara Brunei dan Kanada dengan mendalamkan lagi hubungan kebudayaan dan ekonomi, meningkatkan kefahaman keutamaan bersama serta menubuhkan asas yang kukuh bagi kerjasama jangka panjang di samping menyediakan peluang penubuhan jaringan peringkat tinggi, membolehkan pihak yang berkepentingan untuk membina kolaborasi berimpak serta memacu inisiatif-inisiatif selaras dengan matlamat bersama.