Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertubuhan WARGAMAS anjur dialog bersama Ahli MMN

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Pertubuhan WARGAMAS telah menerima kunjungan dan diteruskan dengan Majlis Sesi Dialog bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS (IPPW), baru-baru ini.

    Sisi dialog bersama empat ahli MMN yang terdiri Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, dan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.

    Ketibaan ahli-ahli MMN di IPPW telah dialu-alukan oleh Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, selaku Pengerusi Sesi Dialog.

    Dialog tersebut telah memfokuskan kepada 5 topik utama iaitu: Kebajikan Warga Emas, Ekonomi Penjagaan (Care Economy), Kawalan Peningkatan Kes Penyakit Demensia, Pemerkasaan Belia-belia Tempatan dan Pencapaian Wawasan Brunei 2035.

    Selain mengongsikan mengenai penglibatan, peranan, sumbangan dan sokongan Pertubuhan WARGAMAS terhadap negara dan masyarakat khususnya ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS dan amnya warga emas juga telah disentuh oleh Yang Dipertua dan Setiausaha Agung.
    Mengenai ekonomi penjagaan (care economy), iaitu peranan dalam menambah baik sistem dan perkhidmatan penjagaan (care system and services) dan sokongan terhadap warga emas yang memerlukan bantuan penjagaan.

    Pertubuhan WARGAMAS juga sedang merancang Projek Jangka Panjang yang akan diusulkan kepada pihak Kerajaan dan yang berkepentingan iaitu: PERKAMPUNGAN WARGAMAS atau WISMA WARGAMAS.

    Projek ini sangat bertepatan dengan ‘Care Economy’ kerana di dalamnya akan mengandungi ehwal bimbingan dan bantuan penjagaan dalam bentuk ‘DayCareMAS’ yang menyediakan profesion penjaga / pengasuh (caregiver / carer), dan seterusnya menyediakan Jalur Riadah Pemedulian MAS untuk berehat dan bersantai.

    Selain memberikan Khidmat Keutamaan Kesihatan dan Kebajikan dan memperkuat kolaborasi keagamaan, mengujudkan MallMAS dan lain-lain yang juga sekali gus boleh membantu memperkasa belia mencari dan mendapatkan pekerjaan.

    Gambaran projek berkenaan dalam bentuk 3D Video telah disediakan dan disampaikan oleh seorang belia iaitu Za’eemul ‘Adli bin Haji Abu Bakar, berkelulusan BSc (Hons) in Architectural Studies sebagai usaha Pertubuhan WARGAMAS dalam pemerkasaan Belia Tempatan.

    Rakan Strategik Pertubuhan WARGAMAS daripada UBD iaitu Dr. Asmah dan Dr. Khatizah juga dijemput dalam Dialog berkenaan yang menyentuh mengenai Kawalan Peningkatan Kes Penyakit Demensia dan Kajian Persaraan yang membuat usul cadangan kenaikan Pencen Tua secara berfakta dan berdata untuk dapat dipertimbangkan.

    Saranan juga disampaikan agar Pertubuhan WARGAMAS dilibatkan sama dalam ehwal penyediaan Dasar Warga Emas, menghadiri Seminar, Persidangan dan Forum antarabangsa dan kebangsaan sesuai dengan peranan dan fungsi Pertubuhan WARGAMAS.

    Pertubuhan WARGAMAS juga memerlukan bantuan dana daripada pihak Kerajaan dan Swasta terutama Rakan Strategik untuk menjayakan projek, program dan aktiviti yang bermanfaat dan berfaedah masa depan.

    Ahli-ahli YB pada sesi dialog itu telah menyatakan kepuasan hati mereka tentang pimpinan dan pergerakan Pertubuhan WARGAMAS yang telah diluluskan penubuhannya oleh ROS pada 10 Ogos 2019, dengan harapan agar Rancangan Jangka Panjang Pertubuhan WARGAMAS dapat direalisasi secara berfasa.

    ‘Think Big Start Small’ adalah kaedah yang harus diusahakan oleh Pertubuhan WARGAMAS bagi mendukung dan menyokong Wawasan Brunei 2035.

    Pertubuhan WARGAMAS mengadakan dialog bersama ahli-ahli MMN, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PERTUBUHAN WARGAMAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda