Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertukaran budaya melalui seni Tai Chi

    SUVA – “Hari yang luar biasa!” Begitulah perasaan para guru dari Sekolah Menengah Fiji Marist Brothers yang berpusat di Suva setelah menikmati pelajaran khas Tai Chi Cina pada Rabu lalu.

    Wabak COVID-19 telah memberi kesan serius kepada kehidupan seharian, tetapi guru dan pelajar telah kembali ke sekolah-sekolah di seluruh negara kepulauan Pasifik Selatan, Fiji ketika keadaan bertambah baik dari hari ke hari.

    Sebagai sekolah menengah terkenal di ibu kota Fijia, Suva, Sekolah Menengah Fiji Marist Brothers didirikan pada tahun 1946 dengan lebih daripada 800 guru dan pelajar. Selama bertahun-tahun, sekolah ini menikmati hubungan baik dengan China.

    Untuk membantu para guru memupuk gaya hidup sihat dengan fikiran yang santai dan tubuh yang kuat, sekolah ini mengundang Pusat Kebudayaan China di Fiji untuk mengajar para guru Tai Chi Cina atau Tai Chi Quan, sebuah seni yang bertujuan menyeimbangkan minda, badan dan semangat. Ia juga merupakan salah satu latihan yang paling berkesan untuk menguatkan minda dan badan.

    Sun Jie, pengarah Pusat Kebudayaan China di Fiji, memberitahu para guru bahawa prinsip-prinsip penting Tai Chi merangkumi fikiran yang terintegrasi dengan tubuh, kawalan pergerakan dan pernafasan, menghasilkan tenaga dalaman, perhatian dan ketenangan.

    Tai Chi Cina atau Tai Chi Quan, sebuah seni yang bertujuan menyeimbangkan minda, badan dan semangat. – Xinhua
    Sun Jie (kanan), pengarah Pusat Kebudayaan China di Fiji, mengajar Tai Chi di Sekolah Menengah Fiji Marist Brothers. – Xinhua

    Tujuan utama Tai Chi adalah memupuk Qi, atau tenaga hidup, agar diri kita dapat mengalir dengan lancar dan kuat ke seluruh tubuh.

    Keharmonian diri dan luaran berasal dari penyatuan minda dan badan, yang diperkuat melalui Qi yang sihat melalui latihan Tai Chi, kata Sun.

    Setelah diperkenalkan, para guru mengambil bahagian dalam mempelajari Tai Chi dengan penuh minat, kerana mereka percaya berlatih Tai Chi akan membantu mereka mengekalkan gaya hidup sihat di tengah wabak COVID-19.

    “Senaman itu mengenai pergerakan, saya dapat merasainya. Dan ia sebenarnya dapat mengubah hari kita,” kata Arieta Sakosese, seorang guru Bahasa Inggeris berusia 35 tahun kepada media.

    Guru berusia 51 tahun, Giana Cavuilati turut bersetuju dengan pendapat Arieta berkata: “Tai Chi Cina sangat menarik. Ia sesuatu yang pernah saya dengar tetapi tidak pernah saya lakukan sebelumnya. Oleh itu, ini adalah pengalaman yang baik dapat melakukannya bersama-sama guru kami.”

    Aropio Pene, pengetua sekolah itu, mengatakan bahawa Tai Chi Cina adalah perkara baharu bagi kebanyakan guru di sini termasuk dirinya. “Tetapi semakin banyak kita mempelajarinya, semakin kita akan dapat menguasai pergerakannya.”

    Pertukaran budaya adalah jambatan muhibah antara negara, dan melakukan Tai Chi sangat berguna bagi orang-orang dalam masa sukar ini ketika kehidupan mereka telah terjejas oleh COVID-19 selama berbulan-bulan, kata Sun kepada media.

    “Setelah pelonggaran sekatan COVID-19, pusat kebudayaan kami melakukan banyak pertukaran budaya bersemuka dengan warga Fiji tempatan, termasuk pengajaran Tai Chi ini.

    Tujuan aktiviti ini adalah untuk membantu orang Fiji memahami budaya Cina dengan lebih baik untuk meningkatkan persefahaman antara masyarakat kedua-dua negara,“ katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda