Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertukaran Budaya: warga Jepun kunjungi MSOAS

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (MSOAS) hari ini telah menerima kunjungan daripada Program Nihongo Partners di bawah sokongan Yayasan Jepun.

    Kunjungan daripada program berkenaan terdiri daripada lima orang peserta wanita warganegara Jepun yang berkerjaya sebagai guru, kakitangan pejabat dan juga sukarelawan. Para peserta program itu telah diketuai oleh Gan Kae dari Yayasan Jepun.

    Berkesempatan ditemui Media Permata, Gan Kae antaranya menjelaskan Nihongo Partners, yang bermaksud penyokong bahasa Jepun, bertujuan untuk membarigakan keunikan dan keindahan budaya Jepun kepada masyarakat Asia di samping sama-sama menimba pengetahuan tentang negara dan budaya di negara-negara Asia.

    “Pada masa yang sama, semasa kunjungan kami ini, beberapa aktiviti yang menarik turut disediakan untuk para pelajar dan warga sekolah di negara ini. Kami berharap awda menikmati program ini dan ini akan menjadi peluang untuk awda mengetahui tentang Jepun,” ujarnya.

    Sementara itu, Pengetua MSOAS, Awang Mohamed Santra bin Haji Bolhasan dalam ucapan alu-aluannya antaranya merakamkan kegembiraan menyambut kedatangan para peserta program berkenaan yang menandakan detik terindah yang begitu berharga dalam sama-sama berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta pertukaran budaya dan nilai persefahaman antara Brunei Darussalam dan Jepun.

    MSOAS hari ini telah menerima kunjungan daripada Program Nihongo Partners di bawah sokongan Yayasan Jepun. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sesi bergambar ramai semasa kunjungan tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    “Kita berkumpul di sini bukan sahaja untuk mendalami pemahaman bahasa dan budaya Jepun tetapi juga untuk mengeratkan ikatan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara kita.

    “Melalui lawatan ini, kita boleh menyelami keindahan tradisi, kesenian dan adat Jepun.

    Begitu juga, kami berharap dapat berkongsi dengan awda kekayaan budaya kami sendiri, mewujudkan pertukaran dua hala yang memperdalam ikatan dan meluaskan ufuk,” ujar beliau.

    Kunjungan yang berlangsung selama dua jam itu yang tertumpu di Auditorium MSOAS telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti demonstrasi merangkumi permainan tradisional, bahasa, kulinari dan keunikan budaya yang mewakili kedua-dua buah negara.

    Para peserta berkenaan berada di tanah air selama enam hari sehingga 1 Februari nanti di mana mereka akan meneruskan lagi lawatan ke sekolah-sekolah di negara ini iaitu Sekolah Menengah Rimba II; Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha; Maktab Anthony Abell, Seria; dan Sekolah Menengah Katok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda