Wednesday, December 25, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertukaran ilmu Iran-Brunei diperkukuh

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Bagi memperkukuh pertukaran ilmu pengetahuan dan budaya antara Iran dan Brunei, Kedutaan Besar Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB), telah melancarkan ‘Brunei-Iran Collaborative Books’ yang berlangsung di Lecture Theater 2, Kompleks Perpustakaan, UTB, petang ini.

    Hadir menyempurnakan pelancarannya ialah Naib Canselor, UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi.

    Majlis itu telah menyaksikan pelancaran tujuh buah buku hasil suntingan bersama Penolong Profesor Kanan dalam Kejuruteraan Petroleum dan Kimia di UTB, Dr Rama Rao Karri dan Profesor Mohammad Hadi Dehghani dari Jabatan Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Sains Perubatan Tehran, Iran.

    PYT Homeira Rigi semasa ucapan alu-aluannya menyatakan sepanjang beliau berkhidmat menjadi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran di sini, beliau mengutamakan acara akademik, seperti acara utama yang pertama menerusi Sambutan Hari Kebangsaan Iran, pada Februari 2020 di UTB yang sekali gus menekankan kepentingan kerjasama saintifik dan akademik dalam mengukuhkan hubungan berkesan antara dua negara.

    “Kerjasama akademik memainkan peranan penting bagi memupuk pertumbuhan dalam komuniti dan mengeratkan hubungan antarabangsa,” kongsinya lagi, di mana majlis itu yang menjadi acara terakhir sebelum beliau menamatkan perkhidmatannya di negara ini.

    Sebelum mengakhiri ucapannya, Puan Yang Terutama turut mengambil kesempatan untuk merakamkan, penghargaan yang tulus ikhlas atas sumbangan cemerlang dua ahli akademik yang dihormati di UTB itu dalam mengukuhkan kerjasama akademik antara misi beliau dan universiti.

    PYT Homeira Rigi menunjukkan buku-buku yang dilancarkan bersama Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda