LONDON, 14 OGOS – Ekonomi Britain mengatasi jangkaan pada suku kedua, namun pertumbuhan perlahan berbanding tiga bulan pertama 2025 akibat tarif Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan cukai perniagaan United Kingdom (UK), menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus pada tempoh April-Jun, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) dalam satu kenyataan. Ia mengatasi ramalan penganalisis iaitu 0.1 peratus selepas mencatat 0.7 peratus pada suku pertama.
“Angka ekonomi hari ini adalah positif dengan permulaan tahun yang kukuh dan pertumbuhan yang berterusan pada suku kedua,” kata Menteri Kewangan, Rachel Reeves.
“Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan ekonomi yang benar-benar berfungsi untuk rakyat pekerja,” tambahnya dalam kenyataan berasingan, selepas tahun pertama yang sukar bagi kerajaan Parti Buruh ketika ekonomi bergelut untuk mencatat pertumbuhan yang signifikan.
Data ONS menunjukkan bahawa pertumbuhan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan pada suku kedua membantu mengimbangi kemerosotan dalam sektor pengeluaran.
“Pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan, dengan pengaturcaraan komputer, kesihatan dan penyewaan kenderaan meningkat,” jelas Liz McKeown, Pengarah Statistik Ekonomi ONS.
Data rasmi kelmarin menunjukkan kadar pengangguran UK berada pada paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 4.7 peratus pada suku kedua. – AFP


