Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Ekonomi Negara Brunei Darussalam diunjurkan untuk tumbuh sebanyak 5.8 peratus pada 2022 dan 2.6 peratus pada 2023, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), baru-baru ini, dalam laporan Regional Economy Outlook.
Ia juga menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi negara pada 2027 diramalkan sebanyak 2.1 peratus.
IMF menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi di Asia dan Pasifik akan perlahan daripada yang dianggarkan sebelum ini pada 2022 di tengah-tengah impak daripada peperangan di Ukraine, kemunculan semula pandemik dan pengetatan keadaan kewangan global.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) serantau juga akan mengembang sebanyak 4.9 peratus iaitu 0.5 peratus kurang daripada yang diramalkan oleh IMF pada Januari lalu dan lebih perlahan daripada kadar pertumbuhan 6.5 peratus pada 2021, menurut unjuran terkini IMF.
Di samping itu, IMF juga menganggarkan bahawa inflasi akan meningkat lebih cepat di kebanyakan negara tetapi melalui kadar yang lebih rendah.
Pertumbuhan yang lebih perlahan dan harga yang meningkat, bersama dengan cabaran peperangan, jangkitan serta keadaan kewangan yang ketat, akan memburukkan lagi pertukaran dasar yang sukar di antara menyokong pemulihan dan menangani inflasi serta hutang.
World Economic Outlook terkini IMF juga menurunkan anggaran pertumbuhan global 2022 sebanyak 0.8 peratus kepada 3.6 peratus. Di samping itu, ia juga mencerminkan pemotongan 1.1 peratus daripada kawasan euro yang kini dilihat berkembang pada 2.8 peratus.
Disebabkan ekonomi maju Asia yang mempunyai ikatan kuat dengan Eropah, pertumbuhan yang lebih lemah bagi benua berkenaan yang mempunyai kesan kepada permintaan luar dan juga kepada pertumbuhan dengan rakan-rakan perdagangan serantau utama seperti Jepun dan Korea.
Sebilangan besar ekonomi yang membangun dan baru muncul Asia adalah pengimport bersih minyak, gas dan besi, menjadikan mereka mudah terdedah kepada harga komoditi global yang meningkat.