Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan ekonomi China merosot

    BEIJING, 19 Okt – Ekonomi China bertumbuh pada kadar paling perlahan selama sembilan tahun dalam suku ketiga (Q3), tatkala satu kempen untuk mengatasi hutang yang meningkat dan perselisihan perniagaan dengan Amerika Syarikat (AS) memberikan kesan paling hebat.

    Bacaan mungkin memberikan tekanan kepada pemimpin untuk menyediakan sokongan baharu apabila pelabur semakin bimbang dengan aliran wang tunai keluar dari negara itu, yang telah melihat yuan dan pasaran saham merosot kepada tahap rendah empat tahun.

    Ekonomi kedua terbesar dunia itu berkembang 6.5 peratus pada Julai hingga September, menurut angka daripada Biro Statistik Nasional (NBS), sejajar dengan tinjauan AFP, tetapi menandakan prestasi paling teruk sejak awal tahun 2009 pada kemuncak krisis kewangan global.

    Ia juga lebih rendah daripada 6.8 peratus dan 6.7 peratus dalam dua suku sebelumnya tetapi selaras dengan sasaran Beijing untuk tahun itu.

    “Berdepan dengan persekitaran yang amat kompleks di luar negara dan tugas pembaharuan dan pembangunan yang sukar di dalam negara, pertumbuhan ekonomi China masih stabil,” kata jurucakap NBS, Mao Shengyong.

    China berada di tengah perang perniagaan dengan AS, dengan kedua-dua pihak saling berbalas tarif ke atas barangan bernilai beratus bilion dolar yang telah mencetuskan kebimbangan mengenai kesannya ke atas ekonomi global.

    Namun perbalahan berlaku pada masa yang sukar untuk Beijing, yang sedang bergelut untuk mengatasi bebanan hutang yang tinggi, dengan pengawalan pinjaman dan pelaburan infrastruktur merosot. – AFP

    Seorang pekerja membuat kimpalan pada bahagian trak di salah sebuah kilang di Weihai, wilayah Shandong, timur China pada 18 Oktober lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda