Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan ekonomi diunjur positif

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Usaha-usaha dalam mempelbagaikan ekonomi negara telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan tetapi ia belum bererti usaha kita telah selesai.

    Ia memerlukan usaha yang lebih keras dan untuk kita lebih kukuh bersatu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan penduduk di negara ini, seru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2024) Perbekalan 2024/2025 pada hari ketiga Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Dalam hal itu, beliau mengongsi petunjuk ekonomi negara telah menunjukkan tanda positif di mana pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi sektor bukan minyak dan gas telah membuahkan hasil yang positif sejak 2017 di mana secara purata bagi tempoh enam tahun kebelakangan iaitu dari 2017 hingga 2023, pertumbuhan sektor berkenaan meningkat sebanyak 4.3 peratus yang disumbangkan oleh aktiviti hiliran minyak dan gas, perdagangan serta kewangan.

    Perkembangan pencapaian ekonomi juga dapat dilihat melalui sumbangan bukan minyak dan gas kepada perdagangan negara, jelasnya lagi.

    Jika dibandingkan dengan 2017, beliau menyatakan eksport bukan minyak dan gas hanya menyumbang sebanyak 3 peratus dan pada 2023, ia telah meningkat kepada 61 peratus.

    Antara yang hadir semasa pembentangan kertas cadangan Rang Undang-undang (2024) Perbekalan 2024/2025 hari ketiga Persidangan MMN, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Ini adalah didorong oleh aktiviti eksport hiliran minyak dan gas dan barangan buatan kilang, yang mana pada 2021, Alhamdulillah, buat pertama kalinya, nilai eksport daripada sektor bukan minyak dan gas telah pun melebihi nilai eksport sektor minyak dan gas,” kongsinya.

    Aktiviti itu, tambah Yang Berhormat Dato, telah menyumbang kepada pempelbagaian pasaran dan peningkatan volum eksport ke negara-negara seperti Amerika Selatan, Eropah dan Australia.

    Selain itu, eksport pembuatan makanan negara juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Republik Rakyat China, Singapura dan Malaysia.

    Hasil daripada inisiatif-inisiatif kerajaan dalam meningkatkan modal insan, Yang Berhormat Dato berkata, melalui penyediaan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan kemahiran dan pemahiran semula, kadar pengangguran negara telah menunjukkan penurunan daripada 9 peratus pada 2017 kepada 5.2 peratus pada 2022.

    Dalam pada itu juga, sumbangan pekerja di sektor swasta telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada 53 peratus pada 2014 kepada 69 peratus pada 2022.

    “Oleh yang demikian, dalam mengharungi cabaran-cabaran yang mendatang dan bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035, marilah kita semua di sektor awam dan sektor swasta bekerjasama secara bersepadu demi meningkatkan produktiviti untuk membangun negara kitani dan membina masa depan yang lebih makmur agar ianya dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi yang akan datang,” seru beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda