WASHINGTON, 26 JULAI – Pertumbuhan global akan menyaksikan sedikit peningkatan berbanding unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini tetapi “banyak cabaran masih perlu diatasi,” kata ketua ekonomi organisasi itu semalam.
Ahli ekonomi IMF, Pierre-Olivier Gourinchas memberikan penilaiannya apabila organisasi itu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global akan perlahan kepada anggaran 3 peratus pada 2023 dan 2024, turun daripada 3.5 peratus pada 2022.
Unjuran terkini mencerminkan peningkatan 0.2 peratus daripada unjuran organisasi pada April, apabila kepimpinan IMF berkata ekonomi dunia dijangka berkembang kurang daripada 3 peratus tahun ini, meningkatkan risiko kebuluran dan kemiskinan di peringkat global.
Walaupun mencatat sedikit peningkatan, pertumbuhan global “kekal lemah mengikut piawaian sejarah,” menurut laporan IMF. Tetapi Gourinchas berkata dalam catatan blog semalam bahawa “dalam masa terdekat, tanda-tanda kemajuan tidak dapat dielakkan.”
IMF juga meramalkan bahawa inflasi global dijangka jatuh daripada 8.7 peratus pada 2022 kepada 6.8 peratus pada 2023 dan 5.2 peratus pada 2024.
Ahli ekonomi organisasi itu berkata bahawa apabila AS berupaya menangkis kegagalan membayar yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan menyelesaikan masalah siling hutang awal musim panas ini, sebahagiannya ‘mengurangkan risiko buruk terhadap prospek.’
Namun ia berkata ancaman inflasi yang lebih tinggi akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan cuaca ekstrem boleh mendorong bank pusat menaikkan kadar faedah atau pemimpin dunia menggubal dasar ekonomi yang lebih ketat. – AFP
