Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan ekonomi Indonesia meningkat

    JAKARTA, 6 FEB – Pertumbuhan ekonomi Indonesia melonjak ke paras tertinggi sembilan tahun pada 2022 di sebalik ketidaktentuan global dan kelembapan pada suku terakhir, menurut laporan data rasmi yang dikeluarkan hari ini, disokong oleh kenaikan harga komoditi dan pelonggaran sekatan COVID-19.

    Indonesia terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, dengan ekonominya yang bergantung kepada eksport dan pelancongan terkesan besar pada 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 2.07 peratus, kemelesetan pertama di negara itu sejak krisis kewangan Asia 1997.

    Bagaimanapun, ekonominya mulai pulih sejak itu, mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.31 peratus tahun lalu, kata Perangkaan Indonesia hari ini, paras tertinggi sejak 2013.

    “Angka itu menunjukkan bahawa ekonomi Indonesia berkembang dengan mantap pada 2022,” kata ketua agensi perangkaan, Margo Yuwono.

    Beliau berkata, pertumbuhan dipacu oleh harga eksport tinggi dan pembatalan sekatan perjalanan serta keperluan kuarantin pada Mac tahun lalu telah melonjakkan perniagaan dan meningkatkan ketibaan pelancong.

    “Pembukaan semula hampir semua lapangan terbang antarabangsa mengukuhkan aktiviti ekonomi rakyat,” kata Yuwono.

    Negara itu menyambut lebih 740,000 pengunjung separuh pertama tahun lalu, peningkatan lebih 900 peratus dalam tempoh setahun.

    Kenaikan tahunan dicatatkan walaupun pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada suku terakhir 2022 selepas prestasi mantap antara Julai hingga September. – AFP

    Petani berlindung di pondok padi di Peukan Bada, Aceh Indonesia. Pertumbuhan ekonomi Indonesia mula melonjak ke paras tertinggi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda