Wednesday, May 7, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan ekonomi Indonesia merosot 5 peratus

    JAKARTA, 6 MEI – Pertumbuhan ekonomi Indonesia dalam suku penuh pertama pentadbiran Prabowo Subianto sebagai Presiden mencatatkan kadar paling perlahan sejak pandemik COVID-19, apabila rangsangan musim Ramadan gagal meningkatkan perbelanjaan pengguna secara signifikan, para pelabur bimbang dengan ketidaktentuan global sementara perbelanjaan kerajaan pula mengalami penguncupan.

    Badan Pusat Statistik (BPS) mendedahkan dalam satu sidang media kelmarin, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Indonesia bagi tempoh Januari hingga Mac meningkat sebanyak 4.87 peratus tahun ke tahun, menandakan penurunan daripada pertumbuhan KDNK 5.02 peratus pada suku sebelumnya.

    Pentadbiran Prabowo menetapkan sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak 5.2 peratus bagi tahun 2025 dan Presiden berharap dapat mencapai kadar 8 peratus menjelang akhir penggal beliau.

    Mengulas laporan BPS itu, Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto memberitahu wartawan di pejabatnya di Jakarta pada Isnin supaya menunggu data KDNK bagi suku kedua, apabila perbelanjaan belanjawan negara ‘mula dilancarkan, supaya momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.’

    Data yang dibentangkan oleh Ketua BPS, Amalia Adininggar Widyasanti, kelmarin menunjukkan perbelanjaan kerajaan menguncup sebanyak 1.38 peratus pada suku pertama, jauh berbeza daripada kenaikan 19.9 peratus dalam suku yang sama tahun 2024.

    Rumusan modal tetap kasar (GFCF), yang mencerminkan pelaburan dalam aset tetap seperti jentera, bangunan atau infrastruktur, hanya meningkat 2.12 peratus, jauh lebih rendah berbanding purata tahunan 4.6 peratus tahun lalu.

    Kemerosotan GFCF – yang merangkumi kebanyakan perbelanjaan modal korporat dan kerajaan turut menjejaskan pertumbuhan KDNK keseluruhan, memandangkan komponen ini menyumbang lebih satu perempat daripada keseluruhan aktiviti ekonomi negara.

    Punca utama ketidaktentuan global ialah perang dagangan Amerika Syarikat – China, yang dicetuskan oleh peningkatan tarif oleh Washington dan dibalas dengan langkah timbal balik oleh Beijing, ekonomi kedua terbesar dunia dan juga rakan dagang utama Indonesia. – ANN/The Jakarta Post

    Prabowo Subianto menghadiri acara di Jakarta, Indonesia, pada 1 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda