DUBAI, 21 OKT – Pertumbuhan ekonomi di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) meningkat tahun ini meskipun berdepan ketidaktentuan global serta konflik di rantau berkenaan, menurut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diterbitkan hari ini.
“Walaupun berlaku pelbagai kejutan terhadap perdagangan akibat langkah tarif, ketegangan geopolitik, konflik dan turun naik harga minyak, kami mendapati pertumbuhan ekonomi menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu,” kata Pengarah IMF bagi Timur Tengah dan Asia Tengah, Jihad Azour, dalam temu bual bersama AFP.
“Dan ia bukan hanya tertumpu kepada sekumpulan negara, tetapi saya boleh katakan tersebar di seluruh rantau ini,” tambahnya.
Institusi itu membentangkan laporan serantau terbaharu di Dubai hari ini, dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus tahun ini di rantau MENA dan 3.7 peratus pada tahun 2026, masing-masing 0.7 dan 0.3 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya pada Mei lalu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu meningkat sebanyak 2.1 peratus pada tahun 2024.
Negara-negara Teluk khususnya memperoleh manfaat daripada peningkatan pengeluaran minyak yang menampung penurunan harga, manakala negara lain menikmati pertumbuhan hasil daripada pemulihan dalam sektor pelancongan, perindustrian atau pertanian, jelas Azour. – AFP


