PARIS, 19 DIS – Pertumbuhan ekonomi Perancis akan menjadi perlahan pada 2023 disebabkan krisis tenaga dan inflasi, sebelum kembali pulih pada 2024 dan 2025, menurut ramalan bank pusat baru-baru ini.
Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan merosot daripada 2.6 peratus pada 2022 kepada 0.3 peratus pada 2023, menurut senario makroekonomi Bank Perancis untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Kemelesetan dalam pertumbuhan akan disusuli oleh pemulihan 1.2 peratus pada 2024. Ia adalah lebih rendah daripada jangkaan 1.8 peratus sebelum ini, disebabkan ‘musim sejuk 2023-2024 masih menimbulkan masalah akibat krisis tenaga,’ kata Ketua Pengarah, Olivier Garnier.
Pemulihan akan berterusan pada 2025, apabila pertumbuhan dijangka mencecah 1.8 peratus, kata bank. Prospek Bank Perancis adalah kurang optimistik berbanding kerajaan, yang mengunjurkan pertumbuhan 2.7 peratus pada 2022 dan satu peratus pada 2023.
“Kami tidak dapat mengetepikan kemelesetan tetapi sekiranya ia berlaku, ia akan bersifat sementara,” kata Garnier.
Inflasi akan terus meningkat dalam separuh tahun pertama 2023 sebelum menurun kepada 4 peratus pada akhir 2023 dan 2 peratus pada akhir 2024, kata Bank Perancis. – AFP


