Sunday, December 15, 2024
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan ekonomi positif

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Bagi suku ketiga (Q3) 2023, ekonomi Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.7 peratus berikutan peningkatan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 4.7 peratus.

    Ini adalah disumbangkan oleh peningkatan subsektor-subsektor seperti pembuatan produk petroleum dan kimia 22.3 peratus, perhubungan 11.5 peratus, dan kewangan 10.1 peratus.

    Menurut kenyataan dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini, peningkatan bagi subsektor pembuatan produk petroleum dan kimia adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan pengeluaran produk petrokimia, metanol dan baja urea.

    Manakala peningkatan bagi subsektor perhubungan adalah selaras dengan peningkatan jumlah pengguna telefon bimbit dan pelanggan Internet. Peningkatan bagi subsektor kewangan pula adalah selaras dengan peningkatan pendapatan aktiviti perbankan dan insurans.

    Dalam pada itu, JPES turut mengongsikan sektor minyak dan gas telah mencatatkan penurunan sebanyak 3.7 peratus, berikutan penurunan pengeluaran gas asli dan gas asli cecair (LNG). Sumbangan utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut aktiviti ekonomi adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 59.7 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan 39.1 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan 1.2 peratus.

    Jumlah KDNK negara pada harga semasa pada Q3 2023 adalah sebanyak $5 bilion berbanding $5.8 bilion pada Q3 2022. Sektor bukan minyak dan gas, yang mana termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, telah menyumbang sebanyak 56.6 peratus daripada jumlah nilai tambah kasar (GVA). Sementara itu, sektor minyak dan gas yang merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan LNG menyumbang sebanyak 43.4 peratus daripada jumlah GVA.

    Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q3 2023 adalah didorong oleh peningkatan eksport bersih barangan dan perkhidmatan sebanyak 19.9 peratus berikutan penurunan import barangan dan perkhidmatan. Ini diikuti oleh perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 5.8 peratus.

    Walau bagaimanapun, pembentukan modal kasar dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 5.3 peratus dan 3 peratus.

    KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran. Laporan penuh KDNK Q3 2023 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui deps.mofe.gov.bn.

    GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda