LONDON, 25 SEPT – Pertumbuhan ekonomi di tenggara Eropah dijangka merosot tahun depan akibat tarif Amerika Syarikat (AS), persaingan semakin sengit sengit dari China dan tekanan belanjawan kerajaan, menurut ramalan bank pembangunan Eropah hari ini.
Bank Eropah untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD) yang berpangkalan di London menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan untuk wilayahnya pada 2026, sementara mengkaji semula jangkaan pertumbuhannya tahun ini.
“Tekanan pertama yang difikirkan semua orang adalah akses kepada pasaran AS,” beritahu Ketua Ekonomi di EBRD, Beata Javorcik kepada AFP.
Eksport dari negara-negara EBRD ke AS meningkat pada suku pertama tahun ini dengan menjangkakan tarif Presiden Donald Trump akan mula dilaksanakan, sebelum menurun pada suku kedua.
“Namun angka purata berkenaan menyembunyikan banyak perbezaan antara negara,” kata Javorcik.
Sebagai contoh, Kazakhstan menyaksikan peningkatan eksport jongkong perak dan emas ke AS, manakala Hungary mendapat manfaat daripada penghantaran barangan farmaseutikal dan komputer. – AFP


