HANOI, 29 SEPT – Pertumbuhan ekonomi Vietnam meningkat pada suku ketiga, dirangsang oleh pemulihan dalam eksport tatkala negara beransur-ansur bangkit daripada kemelesetan yang dicetuskan oleh virus.
Vietnam telah lama menjadi salah satu ekonomi yang berkembang paling pesat di Asia, dan ia banyak bergantung pada eksport, terutamanya selepas memperoleh faedah daripada perbalahan perniagaan di antara Washington dan Beijing sejak dua tahun lalu.
Dengan sebahagian besar ekonomi dunia ditutup untuk tempoh lama dalam suku pertama dan kedua, keluaran dalam negara kasar bertumbuh 0.36 peratus pada April-Mei, walaupun ia adalah lebih baik daripada kebanyakan negara yang mencatat penyusutan.
Namun Pejabat Statistik Am berkata hari ini ekonomi bertumbuh 2.62 peratus pada Julai-September.
Angka tersebut dibantu oleh peningkatan dalam eksport, yang naik 34 peratus berbanding suku sebelumnya, dan 11 peratus tahun-ke-tahun.
Bagaimanapun, bacaan pertumbuhan masih paling perlahan untuk suku ketiga dalam hampir satu dekad.
“Dalam konteks pandemik COVID-19, yang menjejas semua aspek sosio-ekonomi negara di seluruh dunia, ia merupakan kejayaan besar untuk negara kami dalam pencegahan penyakit, pemulihan ekonomi dan pembangunan,” tambah GSO dalam kenyataan. – AFP
