BEIJING, 7 SEPT – Perdagangan China mencatat kemerosotan pada Ogos lalu apabila harga tenaga melambung tinggi di tengah-tengah krisis inflasi dan langkah pencegahan wabak telah menjejaskan permintaan pengguna global dan China, manakala import minyak dan gas Rusia mencatat peningkatan.
Menurut data kastam yang dikeluarkan hari ini, aktiviti eksport pada tahun lalu meningkat 7 peratus kepada AS$314.9 bilion, menurun daripada pengembangan 18 peratus pada Julai. Dalam pada itu, import menurun sebanyak 0.2 peratus kepada AS$235.5 bilion, berbanding pertumbuhan 2.3 peratus yang sudah lemah pada bulan sebelumnya.
Permintaan untuk eksport China telah berkurangan berikutan kemelesetan ekonomi negara-negara barat. Sementara itu, Rizab Persekutuan (Fed) dan bank pusat di Eropah serta Asia telah mengumumkan kenaikan kadar faedah untuk membendung lonjakan inflasi. Di China, penutupan berulang kali bandar-bandar untuk memerangi wabak virus telah menjejaskan kesanggupan pengguna untuk berbelanja.
“Kemelesetan dalam sektor eksport China menambah tekanan kepada ekonomi China,” kata seorang wakil dari S&P Global Market Intelligence dalam satu laporan. Kekurangan pertumbuhan import menambah kelemahan berterusan permintaan domestik China.
Pertumbuhan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu jatuh kepada 2.5 peratus pada separuh pertama 2022, kurang daripada separuh sasaran tahunan 5.5 peratus oleh Parti Komunis yang memerintah, selepas Shanghai dan pusat perindustrian lain ditutup untuk memerangi wabak virus.

Kilang-kilang telah dibuka semula, tetapi sekatan baru-baru ini di beberapa buah kawasan termasuk pusat perniagaan selatan Shenzhen telah menjejaskan aktiviti perniagaan. Begitu juga musim panas yang kering menyebabkan takungan di barat daya tidak dapat menjana kuasa hidro dan mengganggu penghantaran sungai.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan mereka yang sudah rendah. Lebihan perdagangan global China meningkat sebanyak 36.1 peratus berbanding setahun sebelumnya kepada AS$79.4 bilion.
Aktiviti eksport ke Amerika Syarikat (AS) mencatat kemerosotan sebanyak 3.8 peratus berbanding setahun lalu kepada AS$49.8 bilion, manakala import barangan AS merosot 7.3 peratus kepada AS$13 bilion.
Dalam pada itu, eksport ke Rusia meningkat 26.5 peratus kepada AS$8 bilion. Manakala aktiviti pengeksportan ke 27 buah negara Kesatuan Eropah (EU) jatuh 18.4 peratus kepada AS$51.3 bilion, mencerminkan permintaan dari Eropah yang lemah.
Import barangan Eropah menjunam 33.1 peratus kepada AS$26 bilion. Lebihan perdagangan China dengan Eropah pula meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada AS$25.3 bilion. – AP