Pertumbuhan KDNK China paling perlahan empat dekad

SHANGHAI, 15 JAN – Pertumbuhan ekonomi China tahun lalu bergerak pada kadar paling perlahan sejak reformasi pasaran transformasi tahun 1970an, menurut tinjauan AFP, tetapi mengakhiri tahun ini dengan pertumbuhan kukuh selepas pulih daripada krisis pandemik koronavirus.

Ramalan pertumbuhan rata-rata penganalisis dari 13 institusi kewangan ialah peningkatan sebanyak 2 peratus untuk ekonomi kedua terbesar di dunia, turun mendadak dari 6.1 peratus pada tahun 2019, kadar terendah dalam tempoh tiga dekad.

China, di mana wabak COVID-19 mula merebak, juga merupakan negara pertama yang berjaya keluar daripada krisis pandemik dijangka menjadi satu-satunya ekonomi dunia utama yang mencatatkan pertumbuhan 2020 yang positif.

Tahun lalu ekonomi di negara ini berdepan kesukaran, dengan penguncupan yang tidak pernah terjadi sebelumnya pada suku pertama yang disebabkan oleh perintah berkurung berkaitan dengan wabak, diikuti dengan pemulihan ketika perniagaan dan penggunaan kembali stabil.

Ekonomi mula menunjukkan peningkatan pada suku keempat, kata para penganalisis, dengan data menunjukkan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna, aktiviti kilang dan eksport.

Kebanyakan pemerhati rata-rata meramalkan pertumbuhan sekitar 6.3 peratus untuk suku akhir 2020, menjadikan China kembali pada landasan pertumbuhan pra-pandemiknya.

“Kami menjangkakan peningkatan yang lebih tinggi dalam pertumbuhan KDNK Q4, didorong oleh eksport yang kukuh terutamanya dalam pertumbuhan pelaburan yang kukuh dan pemulihan penggunaan isi rumah,” kata Tommy Wu, ketua pakar ekonomi di Oxford Economics.

Dalam perkembangan pertumbuhan terbaharu, eksport melonjak 18 peratus pada bulan Disember dan naik 3.6 peratus untuk tahun penuh, menurut angka yang dikeluarkan kelmarin.

Angka pertumbuhan KDNK rasmi akan dikeluarkan pada Isnin. – AFP