HANOI, 29 MAC – Ekonomi Vietnam pada suku pertama berkembang pada kadar kedua terendah dalam tempoh 12 tahun lepas apabila permintaan global yang lemah menjejaskan eksport, data rasmi menunjukkan hari ini.
Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ialah 3.32 peratus dalam tempoh Januari-Mac, turun berbanding 5.92 peratus pada suku keempat dan 5.03 peratus pada suku pertama tahun lalu, menurut Pejabat Perangkaan Am (GSO), lapor Xinhua.
Pemprosesan dan pembuatan, susut 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala perkhidmatan, meningkat 6.79 peratus dan pertanian naik 2.52 peratus, menurut GSO.
“Ekonomi pada suku pertama telah mencapai perkembangan positif walaupun berdepan ketidaktentuan global,” kata ketua GSO Nguyen Thi Huong.
Eksport makanan laut menjunam 29 peratus daripada setahun sebelumnya kepada AS$1.78 bilion pada suku tersebut, manakala eksport telefon pintar, antara penyumbang eksport terbesar negara, turun 15 peratus kepada AS$13 bilion dolar. – Bernama
